Selasa, 11 Oktober 2011

Menghadirkan Niat Dalam Ketaatan



قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إنما الأعمال بالنيات                              

Maksudnya: Bersabda Nabi SAW: Hanyasanya setiap amal itu dengan niat.

Hadis ini merupakan antara hadis yang penting di dalam agama Islam kerana di atasnya tunjang Islam dan atasnya juga berjalan dan berputar hukum ahkam di dalam agama Islam.

Berkata Abu Daud: Sesungguhnya hadis ini إنما الأعمال بالنيات)) setengah daripada Islam kerana agama itu sama ada zohir iaitu amal perbuatan atau batin iaitu niat.

Berkata imam Syafie & Ahmad: Masuk di dalam hadis ini satu pertiga ilmu kerana seseorang hamba itu mendapat ia akan sesuatu hasil(ganjaran) sama ada dengan hati, lidah, dan anggota badannya.Adapun niat dengan hati itu merupakan satu daripada tiga bahagian tersebut.

Oleh kerana itu,kebanyakan ulama memulakan kitab-kitab karangan mereka dengan hadis ini diantaranya Imam Bukhari di awal kitab sohihnya dan Imam Nawawi di dalam Riyadul al-solihin, al-azkar, dan himpunan hadis 40 Imam Nawawi.

Antara faedah dimulakan hadis ini dipermulaan kitab adalah sebagai peringatan kepada para penuntut ilmu agar membetulkan niatnya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam menuntut ilmu dan melakukan amal kebaikan.

Maka, sayogia bagi seseorang yang inginkan hasil(ganjaran) dalam ketaatannya menghadirkan niat dalam amal amal ibadatnya kerana niatlah yang menjadi tembok pembeza diantara adat dan ibadat.Misalnya 2 orang pemuda yang duduk di dalam masjid,seorang berniat iktikaf dan seorang lagi hanya duduk berehat tanpa sebarang niat. Lelaki pertama tadi diberi ganjaran atas duduknya itu kerana duduknya bernilai ibadat di sisi agama kerana disertai dengan niat manakala lelaki kedua tidak diberi sebarang ganjaran atas duduknya kerana duduknya kosong daripada niat dan adat semata-mata.

Jelas di sini bahawa niat mengangkat martabat sesuatu perkara adat itu kepada ibadat dan perhambaan kepada Allah SWT selama mana perkara itu bukannya perkara yang haram dan makruh.Maka,dengan niat tadi melayakkan seseorang itu mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Berkata Imam al-Baidhowi: Setiap amal itu tidak sah (tidak dikira sebagai ibadat) tanpa niat kerana niat tanpa amal itu diberi ganjaran atasnya dan amal tanpa niat seperti debu yang beterbangan.Misal niat di dalam amal seperti roh pada jasad, maka tidak akan kekal jasad tanpa roh dan tidak akan zohir bagi roh di dalam alam ini tanpa bersangkut dengan jasad.

Hendaklah seorang yang berniat menjaga dan membetulkan niatnya semata-mata kerana Allah SWT dan mengharapkan redha Allah SWT dalam setiap amalnya. Begitu juga dalam perkara-perkara yang dianggap remeh seperti makan,minum,tidur, dan seumpamanya kerana mereka yang berniat taat dalam perkara-perkara yang harus maka dijanji Allah SWT padanya dangan ganjaran pahala dan kebaikan.Contohnya seorang yang berniat untuk makan dan minum agar dirinya lebih kuat dalam beribadat dan tidurnya sebagai istirehat agar lebih cergas untuk beribadat kelak. Jadi, setiap niat yang diniatkan itu bernilai ibadat kerana niatnya itu merupakan ketaatan kepada Allah SWT.

Kesimpulannya,setiap amal itu di atas niatnya seperti yang disebut di dalam hadis di atas.Rebutlah peluang keemasan ini sebelum roh meninggalkan jasad kita.Mudah-mudahan,setiap detik dalam kehidupan kita di dunia ini bernilai ibadat di sisi Allah SWT dan mendapat husnul khatimah di akhir hayat kelak..


Tanbih

Adapun niat dalam perkara-perkara adat itu ianya hanya bersangkutan dengan perkara-perkara harus dan bukannya perkara yang haram dan makruh.Bukannya seperti yang didakwa oleh kebanyakan orang pada zaman ini dengan katanya: “biarlah tak solat yang penting hati baik”, “orang yang bertudung tak semestinya baik”, “biarlah apa pun yang kita buat yang penting hati baik”,dan bermacam lagi.

Kesemua kata-kata ini hanya bertunjangkan akal semata-mata dan nafsu yang inginkan keseronokan dan bukannya dengan payungan syariat yang ditetapkan. Mereka ini kosong daripada hujah dan akhirnya menggunakan akal dan nafsu sebagai perlembagaan bagi diri mereka untuk menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Dakwaan bahawa “biarlah tak solat yang penting hati baik” sungguh pelik dan agak keterlaluan bagi mereka yang bergelar mukmin. Sedangkan kalau kita lihat dan perhati,Allah SWT sebutkan di dalam Al-Quran bahawa orang yang tidak solat itu tempatnya di neraka.Selain itu,disebut juga di dalam hadis-hadis Nabi SAW bahawa solat itu adalah tiang agama,pembeza diantara kekufuran dan syirik, dan merupakan sepenting-penting urusan di sisi Rasulullah SAW.Maka timbul pertanyaan di sini, adakah kata-kata ini diterima di hadapan Allah SWT?Adalah hati seseorang itu dikira baik dengan mengingkari suruhan Allah SWT?Atas timbangan mana kamu mengukur hati kamu dan seseorang itu baik atau buruk?

Begitu juga dengan dakwaan “orang yang bertudung tak semestinya baik”.Apakah punca atau sebab kalimah seperti ini dilontarkan kepada mereka yang bertudung?
Adakah untuk membenarkan perbuatan kamu yang tidak bertudung atau sekadar menyakiti hati golongan muslimah di luar sana?Baik,jika kamu mengatakan orang yang bertudung itu tidak semestinya baik.adakah diri kamu yang tidak bertudung itu dikira baik?Jika kamu katakan ianya baik,mengapa Nabi SAW sebutkan di dalam hadis mengenai seksa mereka yang tidak bertudung?Adakah perintah Allah SWT itu perlu dilaksanakan apabila seseorang itu baik hatinya?Adakah baik hati itu syarat untuk menutup aurat dan melaksanakan perintah Allah yang lain?Bukankah menjadi kawajipan untuk melaksanakan perintah Allah SWT adalah bagi mereka yang sampai usia taklif?

Bertaubatlah wahai insan yang pernah mengucapkan sedemikian walau sekali dalam kehidupan.Berimanlah dengan yang segala diturunkan Allah di dalam al-quran sepenuhnya dan bukan sebaliknya atau mengambil sebahagiannya sahaja.Semoga kita diberi taufiq dan hidayah Allah SWT dan sentiasa berada di dalam i’nayah-Nya..

Aminn…