Khamis, 22 November 2012


Hari A'syura'(Hari yang ke-10 daripada bulan muharram)

Antara hari yg disunatkan berpuasa adalah 10 Muharram.insyaallah sabtu ni tanggal 10 Muharram sama2 kita berpuasa yg mana disebutkan dalam sebuah hadis bahawa diampunkan dosa tahun yg sebelumnya bg mereka yg berpuasa.

Bagi puasa a'syura' ada tiga peringkat sepertimana yg disebutkan oleh Ibnu hajar al-asqolani di dalam fathul bari iaitu:

1.peringkat yang paling bawah iaitu hanya berpuasa pada 10 Muharram.

2.peringkat yang kedua iaitu berpuasa pada 10 Muharram tetapi didahulukan dgn puasa pada hari kesembilan.

3.dan peringkat yang ketiga iaitu berpuasa pada 10 Muharram dgn didahulukan puasa pada hari kesembilan dan kemudiannya diiriingi dgn puasa pd hari kesebelas.

Selamat beramal..:)

Isnin, 29 Oktober 2012


                          Biografi ringkas mengenai Tuan Guru Hj Ismail Sepanjang
                             
                                         

BIOGRAFI TUAN GURU HJ. ISMAIL BIN OMAR ( BABA EIL )

Kelahiran, Keluarga dan Pendidikan.
Nama asal beliau ialah Ismail bin Omar atau lebih dikenali sebagai Baba Eil Spanjang iaitu panggilan bagi seorang Tuan Guru. Dilahirkan di Kampung Dusun Spanjang Daerah Penarik, Patani kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga sebanyak 3 beradik.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Spanjang. Kemudian menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya (200 meter) pada ketika usia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu antaranya Tafser, Hadis, Feqah, Nahu dan lain-lain. Manakala tiba musim cuti semester Baba Eil pergi belajar di pondok lain pula bagi mengisi masa lapang.

Ketika umur beliau mencapai 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Haji Abdul Qader Sekam (Baba Der) yang terkenal dengan ilmu tauhid untuk belajar di sana sehinggalah umur beliau 30 tahun. Ketika di sana beliau bukan setakat mengajar kepada pelajar tetapi mula menerima undangan mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau masih mengajar hingga ke hari ini ialah Masjid Yala (21 tahun) dan Masjid Patani (22 tahun).

Ketika umur beliau 29 tahun, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah Sabariah Binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz (Pengarang Kitab Misbahul Munir). Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahayamata ( 2 lelaki dan 3 perempuan ).Selepas itu ketika berumur 31 tahun, beliau telah pergi ke Mekah dan bermuqim di sana selama 7 bulan.

Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, barulah Baba Eil membuka pondok di Kampung Kubang Ikan Bandar, Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar. Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Spanjang hinggalah ke hari ini. Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelusuk dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia dan Burma tanpa menerima bayaran.
Sehingga kini, terdapat lebih kurang 200 orang pelajar yang sedang menuntut di pondok beliau. Pengajian berlangsung sepanjang tahun melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal ( 2 bulan ), cuti Raya Haji ( seminggu ) dan bulan Rabiulawal ( 1 bulan ).

Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala.. Kuliah Baba Eil sering disiarkan di radio tempatan. Selain mengajar, Baba Eil memenuhi masa lapang dengan mentelaah dan mengarang kitab.
Antara kitab karangan Baba Eil ialah “Mizan ad-Durari”, “Hikam Jawi”, “Mawaiz al-Iman”, dan karangan dalam bidang tafsir,hadis dan Qawaid. Selain itu,Baba Eil telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama Fathoni.

SUMBER:

Khamis, 13 September 2012

Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada isterinya, (iaitu) Fathimah radhiyallahu ‘anha:

ﻳﺎ ﻓﺎﻃﻤﺔ ﻣﺎ ﺧﻴﺮ ﻣﺎ ﻟﻠﻤﺮﺃﺓ؟

“Wahai Fathimah, apa yang terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab:

ﺃﻥ ﻻ ﺗﺮﻯ ﺍﻟﺮﺟﺎﻝ ﻭﻻ ﻳﺮﻭﻫﺎ

“Hendaklah dia tidak melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki pun tidak melihatnya.” ‘Ali berkata lagi:

ﺃﻻ ﺗﺴﺘﺤﻴﻮﻥ؟ ﺃﻻ ﺗﻐﺎﺭﻭﻥ؟ ﻳﺘﺮﻙ ﺃﺣﺪﻛﻢ ﺍﻣﺮﺃﺗﻪ ﺗﺨﺮﺝ ﺑﻴﻦ ﺍﻟﺮﺟﺎﻝ ﺗﻨﻈﺮ ﺇﻟﻴﻬﻢ ﻭﻳﻨﻈﺮﻭﻥ ﺇﻟﻴﻬﺎ

“Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki dan dia melihat mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.” (Lihat: adz-Dzahabi, al-Kaba’ir,)

Maka para wanita berkata: "ala..tu kalau keluar rumah..kami tak keluar rumah pun...."

Ibnu batoota berkata: "memang la korang tak keluar rumah,tapi korang telah 'keluar rumah' secara khianat melalui fb,twitter dan laman soooo-sial yang lain dengan mempamerkan gambar-gambar korang walaupun berpurdah kepada umum,kalian dilihat ramai lelaki dan yang lebih jauh,gambar kalian di save para lelaki dalam laptop dan handphone mereka..maka apakah kalian tidak malu?dan apakah suami kalian tidak cemburu?"(ibnu batoota)

ibnu zabidi menambah:begitu la yg berlaku dalam kebanyakan majis2 perkahwinan sekarang ini..majlis yang dianggap islamik dengan tiada persandingan dan upacara membaling rempas ratus dan sebagainya dikotori tanpa disedari dgn persandingan yg lebih grand dilaman fb,twitter dan laman soo-sial yg lain..pandaikan Yahudi ni...dalam senyap2 dia menghncurkan islam..

Kita perlu ingat sifat kita ini bersekutu(musyarakah) dengan sifat binatang,tetapi Allah swt menganugerahkan kepada kita akal untuk kita berfikir dan dengannya membezakan antara kita dengan binatang..kerana itu kita dituntut menjaga akal dan dilarang merosakkannya..itulah antara hikmah diharamkan setiap perkara yang memabukkan kerana ianya merosakkan akal...jadi.gunakan akal kalian untuk berfikir dan berzikir bukannya terus tertipu dengan yahudi....:)

Ahad, 2 September 2012




























 Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah,majlis pertemuan keluarga besar Haji Muhammad Janggut berjaya diadakan sekali lagi pada 2 syawal 1433 hijrah setelah  5 tahun  selepas diadakan pada tahun 2007.Majlis yang diadakan di Maahad Akademi Islam Kedah itu berjaya mengumpulkan sebahagian keluarga besar untuk berkenal- kenalan dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli…

Haji Muhammad janggut merupakan atuk kepada Tuan Guru Haji Itam Pondok Tanjung Bedil,Kedah dan Tuan Guru Haji Salleh Pondok Pauh Kumbang,Yaha,Fathoni,Thailand,dan moyang kepada Tuan Guru Haji Hasyim Pondok Pasir Tumboh,Kelantan.


   Hj Sulaiman(ayah kepada TG HJ Hitam & TG Hj Salleh dan atuk kepada TG Hj Hasyim)

                                     Tuan Guru Hj Hitam Pondok Tanjung Bedil,Kedah


                                 Tuan Guru Hj Hasyim Pondok Pasir Tumbuh,Kelantan



                       Tuan Guru Hj Salleh Pondok Pauh Kumbang,Yaha,Fathoni,Thailand



Majlis yang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 2 petang itu berjalan dengan baik bermula dengan ucapan ringkas daripada wakil keluarga dan kemudiannya diteruskan dengan sedikit jamuan makan tengah hari dan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai..




                              Peta salasilah keluarga besar Hj Muhammad Janggut(Tok Janggut)



                                     keratan daripada salasilah(daripada tepi sebelah kiri)



























                                      Wakil-wakil keluarga yang memberikan ucapan





Isnin, 25 Jun 2012

                                                                     Tok Bermin


Tok Bermin adalah merupakan seorang ulama yang sangat tegas menentang kemasukan Kaum Muda di wilayah Fathani. Nama sebenar beliau ialah Haji Wan Ahmad bin Wan Idris al-Fathani. Beliau dilahirkan di Kampung Binjai, Mukim Binjai Lima, Fathani pada tahun 1290H/1873M[1]. Beliau adalah merupakan shahabat rapat kepada Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf Haji Ahmad al-Kelantani (atau lebih dikenali dengan nama Tok Kenali) dan Haji Muhammad Hussin bin Abdul Lathif al-Fathani (atau lebih dikenali dengan nama Tok Kelaba). Dan mereka bertiga merupakan murid-murid yang rapat dengan ulama besar Melayu yang menetap di Mekah iaitu al-‘Alim al-‘Allamah Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Pendidikan

Sebelum berangkat ke Mekah, Tok Bermin menimba ilmu diberapa buah pondok di Fathani, antaranya:
  • Pondok Beting
  • Pondok Semela berguru dengan Tok Semela Tua iaitu Tuan Guru Haji Wan Ahmad Semela.
  • Pondok Bendang Daya berguru kepada Tok Bendang Daya II
  • Pondok Tok Raja Haji, Jambu Fathani
Ketika di Mekah Tok Bermin belajar dengan ramai ulama, antaranya:
  • Tok Yaman – iaitu seorang anak watan Fathani yang baru kembali dari Yaman dan menjadi kepala telaah kepada pelajar-pelajar yang baru memulakan pengajian di Mekah.
  • Tok Cik Wan Daud bin Mustafa al-Fathani - kepada ulama ini beliau banyak memgambil ilmu.
  • Syaikh Wan Ahmad al-Fathani – Tok Bermin, Tok Kenali dan Tok Kelaba adalah murid-murid kesayangan Syaikh Wan Ahmad. Dan mereka bertiga juga merupakan khadam berkhidmat kepada guru kesayangan mereka ini.
  • Syaikh Nik Mat al-Fathani
  • Syaikh ‘Ali Maliki dan lain-lainnya

  •   [gambar disebelah adalah shahabat Tok Bermin iaitu Tok Kenali]

Membuka Pondok


Setelah tamat menuntut ilmu di Mekah, Tok Bermin kembali ke Fatani sebagai seorang yang ‘alim khususnya dibidang fiqh. Beliau membuka pondok di Kampung Atas Beris, Mukim Bermin. Dari sinilah beliau mendapat gelaran ‘Tok Bermin’. Seterusnya pondok ini dikenali sebagai Madrasah Nur al-Islam al-Barminiyah. Pada zaman puncak kegemilangan (disekitar tahun 1920an – 1940an), pondok Bermin memiliki sejumlah 800 buah pondok yang dilengkapi dengan pasarnya sendiri untuk kemudahan anak-anak pondok membeli barang keperluan. Ini membuatkan Pondok Bermin termasuk di dalam pondok yang sangat dihormati dan mendapat tempat dihati masyarakat Fathani. Diantara kitab-kitab yang diajar [berdasarkan maklumat dari wawancara dengan salah seorang muridnya] oleh Tok Bermin adalah:

  • Feqah - Tahrir, Fathul Qarib, Bajuri, I’anah at-Tholibin, Bujairimi, Mughni al-Muhtaj, Iqna`,Fathul Wahab dan Mahalli
  • Usuluddin – Bakurah, Kifayatul Awwam, Bajuri, Hudhudi, Abdussalam, al-Muktadi Syarh Syarqawi (biasanya di sebut Suhaimi) dan matan Jauharah
  • Tafsir – Tafsir Jamal Syarh Jalalain
  • Nahwu – Mughni Labib dan Ibn ‘Aqil
  • Tasauf – Hikam Ibn ‘Athoillah, Sairus Salikin dan Minhajul ‘Abidin
Murid-murid Tok Bermin

Pondok Bermin telah melahirkan ramai generasi ulama. Ini mencerminkan kejayaan Tok Bermin dalam mendidik seterusnya melahirkan generasi penerus institusi pondok dimana ada dikalangan murid beliau juga membuka pondok. Antara murid-muridnya:-
  • Haji Hasan bin Muhammad Amin atau dikenali dengan nama Haji Hasan Mak Enggol – membuka pondok Mak Enggol. Pondok ini juga masyhur.
  • Haji Abdullah Titi – membuka pondok di kampung Pial
  • Haji Abdul Qadir Bendang Ramah – meneruskan pondok mertuanya di Bendang Ramah
  • Haji Ismail Semela - beliau membuka pondok di kampnug Semela.
  • Haji Abdullah Bendang Kebun – membuka pondok Bendang Kebun.
  • Tuan Chik Bendang Siring, Pujud (menantu Tok Bermin)
  • Haji Ismail Getah Cambah
  • Haji Mat Terengganu (dari beliaulah senarai kitab-kitab yang diajar oleh Tok Bermin diperolehi) – beliaulah yang menjadi penerus pondok Bermin setelah kewafatan Tok Bermin
  • Haji Omar Ibrahim Becah Semak, Pasir Mas
  • Haji Hamid Jelepok, Perlis
  • Haji abdul Ghani Batu Empat, Titi Kasan, Kedah
  • Haji Idris Alor Kemudu, Kedah
  • Baba Li Caya (bermastautin di Mekah)
  • Haji Salleh Jelempok, Perlis
  • Haji Abdurrahman Pombeng (berhijrah dan menetap di Terengganu. (Mudir Madrasah Darul Salam, Kuala Ibai, Terengganu. Baru saja wafat. Namun abu zahrah lupa tarikhnya)
  • Haji Abdurrahman Bangkok
  • Haji Ismail Phra’tan (Legor)
  • Dan ramai lagi ….


Penulisan

Tok Bermin tidak meninggalkan hasil penulisan bercetak kecuali beberapa salinan doa dan wirid yang beliau berikan atas permintaan seseorang yang mengunjungi beliau.


Menurut al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah, beliau ada menyimpan manuskrip atau tulisan tangan asli Tok Bermin yang meriwayatkan peristiwa kedatangan dua orang dari Minangkabau ke Legor menyebarkan ajaran Kaum Muda. Mukadimah tulisan Tok Bermin adalah sebagai berikut:

“Dan adalah pada hari Sabtu, 26 Syawal, dan hari Isnin, 28 Syawal juga, pada tahun [atau] sanah 1347 [Hijrah], perhamba al-Haji Wan Muhammad Bermin, Jambu, periksa dan tanya akan ‘Abdullah dan Burhan orang Minangkabau. Yang keduanya setengah daripada Kaum Muda yang duduk berjalan menyesatkan orang-orang. Di dalam negeri Legor diperiksa di dalam Masjid al-Haji Mat, Kampung Baru. Dan di dalam Masjid al-Haji Mahmud di hadapan Imam Shiddiq, dan Penghulu Hamzah, dan al-Haji Mat sendiri dan al-Haji Mahmud, dan beberapa banyak daripada manusia.’’


Personaliti Tok Bermin

Tok Bermin selalu kemas dalam berpakaian sama ada ketika mengajar atau berjalan. Pakaian yang dipakainya sentiasa tegang kerana berkanji menurut tradisi zaman itu. Tok Bermin jika berjalan ke mana-mana menunggang kudanya sendiri dengan tersedia pada tangannya. Jika menunggang kuda Tok Bermin selalu berdisiplin, mencerminkan kewibawaan, kebesaran ulama dan kelihatan gagah. Dielakkannya menunggang seperti ada kelemahan atau menanggung sesuatu penyakit. Ketika mengajar beliau sangat cermat dan tegas, terutama ketika membaca kitab atau mendengar murid membaca kitab bahasa Arab. Beliau sangat terikat dengan kaedah ilmu, terutama dalam ilmu nahu dan ilmu sharaf, sedikit pun tidak boleh tersilap atau salah. Jika tersalah baca, Tok Bermin menegurnya secara spontan langsung memberi keterangan dengan ‘tegas’. Tok Bermin membaca perkataan satu demi satu dengan jelas.

Tok Bermin mengamalkan thariqat Ahmadiah (iaitu thariqat sufiyyah yang di nisbahkan kepada Syaikh Ahmad bin Idris bin Muhammad al-Hasani). Masyhur di kalangan masyarakat Fathani bahawa Tok Bermin adalah seorang yang dikuniakan dengan perlbagai karamah. Diujung usianya, Tok Bermin menghabiskan masa untuk beribadat sahaja.


Keluarga


Sewaktu kewafatannya, Tok Bermin mempunyai tiga orang isteri. Dan beliau dikurniai dengan 5 orang anak.

Kewafatannya

Ulama yang berjasa ini wafat di Bermin, malam Khamis 29 Zulkaedah 1376H/27 Jun 1957M pada umur 86 tahun menurut tahun Hijrah.
Semoga Allah sentiasa mengasihi dan merahmati Tok Bermin ...... al-Fatihah.


Selasa, 12 Jun 2012



Sheikh Idris Al-Marbawi pengarang Bahrul Mazi

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

Tok Kenali antara Guru Sheikh Idris al-Marbawi
Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.

Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.

Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.

Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.

Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

Karya-karya yang dihasilkan:
Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

A. Qamus Idris al-Marbawi
Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.
Paling luas penyebarannya

Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.
Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.

Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.
Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau.
Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:
- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.
- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.
- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.
- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.
- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.
- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.
- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.
- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.
- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.
Bab-bab jualan
- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.
- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.
- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.
- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.
- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.
- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.
- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.
- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.
- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.
Minta izin
- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.
- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955." Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.
- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.
- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.
Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

Kurang tersebar
Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.
Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu...”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.