Rabu, 1 Oktober 2014

 Solat Sunat Aidiladha


~Hukumnya: sunat muakkad

~Disunatkan padanya berjemaah

~Waktunya bermula daripada terbit matahari dan berakhir apabila tergelincir matahari.

~Afdhal dilaksanakan di masjid sekiranya keluasan masjid mencukupi bagi jemaah,tetapi jika tidak mencukupi disebabkan  terlalu ramai jemaah,sempit atau sebab yang lainnya,maka di satu kawasan yang luas dan lapang lebih afdhal

~Disunatkan tidak makan terlebih dahulu sebelum daripada solat aidiladha sehinggalah selesai solat.

~Disunatkan memakai bau-bauan(bg lelaki) dan seelok-elok pakaian dan disunatkan menghadirkan kanak-kanak beserta perhiasan mereka.

~Disunatkan untuk mengegerakan solat hari raya korban dan dilewatkan sedikit bagi hari raya fitrah.

~Juga disunatkan untuk menghidupkan malam hari raya itu dengan ibadat-ibadat seperti solat sunat dan lainnya.


Kaifiat Solat atau Cara-cara Solat

Bilangan rakaat bagi solat aidiladha adalah 2 rakaat.

Hendaklah berniat untuk melaksanakan solat sunat aidiladha ketika takbiratulihram.

Ditakbir pada rakaat yang pertama selepas selesai membaca doa iftitah dan sebelum membaca taawwuz sebanyak 7 kali takbir dan diteruskan dengan bacaan surah al-Fatihah. Manakala pada rakaat kedua dengan 5 kali takbir (tidak termasuk takbir qiyam daripada rakaat pertama) dilakukan selepas bangkit daripada rakaat yang pertama dan sebelum taawwuz.

Diangkat pada setiap takbir itu 2 tangan sepertimana takbir ketika takbiratulihram dan berzikir di antara takbir-takbir itu dengan lafaz zikir (سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله الله أكبر).

Dibaca pada rakaat yang pertama surah ‘ق’ (surah qaaf) dan pada rakaat yang kedua ‘اقتربت’ (surah al-qamar) atau ‘سبح اسم ربك الأعلى  (surah al-a’la) pada rakaat pertama dan ‘الغاشية’ (surah al-ghasyiah) pada rakaat yang kedua.



Tanbih

*Sekiranya seseorang itu meninggalkan takbir di dalam solatnya atau menambah jumlah takbir seperti yang disebutkan disebabkan lupa atau sebagainya, maka tidak disunatkan sujud sahwi kerana takbir tersebut merupakan sunat haiah dan bukannya sunat ab’adh. Bahkan, sekiranya dilakukan sujud sahwi itu,batal solatnya.

*Jika seseorang hadir pada rakaat yang pertama atau rakaat yang kedua ketika imam sedang membaca al-Fatihah,maka tidak perlu ia menggantikan takbir-takbir yang terlepas tadi tetapi terus sahaja mengikut imam.

*Sekiranya seorang makmum itu hanya mengikuti imam pada rakaat kedua,maka ia perlu menambah satu lagi rakaat setelah imam memberi salam dan bertakbir sebanyak 5 kali berdasarkan rakaatnya yang merupakan rakaat kedua dan bukannya 7 kali.

Wallahua’lam…

Berkata ulama:Ibadat badan yang terlebih afdhal selepas mengucap 2 kalimah syahadah ialah solat.Maka solat fardhu itu terlebih afdhal daripada fardhu2 ibadat yang lain dan sunat bg solat fardhu pula terlebih afdhal daripada segala solat sunat yang lain.Kemudian yang terlebih afdhal daripada solat sunat mengikut tertib  ialah solat hari raya korban,solat hari raya aidilfitri,solat gerhana matahari,solat gerhana bulan,solat minta hujan,solat sunat witir,solat sunat rawatib,solat tarawih,solat dhuha,solat sunat tawaf,solat tahiyyatul masjid,solat sunat ihram,solat sunat jenazah,sujud tilawah,sujud syukur kemudian lain2 solat sunat seperti solat sunat safar,pulang daripada belayat dan sebagainya lagi.


InsyaAllah,mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian ini memberi manfaat kepada kita sebagai persediaan sebelum menunaikan solat sunat aidiladha kelak.Alfaqir tidak berhajat menulis secara tafasil(terpeinci) di sini tetapi sekadar sedikit pengetahuan, dan kaifiat solat secara ringkas yang boleh kita lakukan kelak.Untuk secara tafasil bukanlah di sini tetapi dengan mengaji di kelas-kelas agama di luar sana.Jika terdapat kesilapan di dalam penulisan ini mohon ditegur dan diperbetulkan.