Isnin, 7 November 2011

     

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dilahirkan pada 15 April 1911 di Daqadus, daerah Mit Ghamir,negeri Daqaliyyah,Mesir.Beliau tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 11 tahun. Pada tahun 1916, beliau telah memasuki Sekolah Rendah Zaqaziq dan berjaya memperolehi Sijil Sekolah Rendah pada tahun 1923 dan kemudiannya memasuki sekolah peringkat menengah. Beliau terkenal dengan seorang yang sukakan syair dan kesusasteraan Arab sehingga rakan-rakannya melantik beliau menjadi Ketua Persatuan Pelajar dan Ketua Persatuan Kesusasteraan di daerah Zaqaziq.

Syeikh Mutawalli mengambarkan kampungnya yang begitu indah dengan pemandangan, subur dengan tanaman hijau-hijauan di perlembahan Sungai. Nil. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Mutawalli al-Sya’rawi al-Husaini yang nasab keturunan bapanya sampai kepada Imam Husain bin Ali k.w.

Satu peristiwa yang terpenting dalam hidupnya yang berubah segala-galanya apabila keinginan bapanya untuk meminta beliau melanjutkan pelajaran ke al-Azhar di Kaherah sedangkan beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurutnya, tidak ada bagi seorang kanak-kanak cita-cita atau keinginan tertentu. Baginya hanya apa yang ada di sekeliling iaitu untuk menjadi petani dan bekerja di situ. Tetapi keinginan ayahnya yang inginkan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau telah tamat menghafaz al-Quran. Namun keinginan beliau untuk menjadi petani menjadikannya membuat berbagai helah agar tidak masuk ke Kolej al-Azhar. Beliau telah memasukkan habuk tanah ke dalam matanya agar menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan. Namun helah ini juga tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Helah kedua ialah gagap dan berbuat lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun guru tersebut tetap menerimanya sebagai pelajar. Helah ketiga ialah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Lalu dibeli oleh ayahnya. Apabila pulang ayahnya berkata : “ Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku lupa bahawa semua buku-buku tersebut bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silibus kamu tidak sampai 37 Qurus sahaja. Tetapi, wahai anakku, semoga Allah memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini.”

Inilah peristiwa yang merubah hidupnya untuk mendalami ilmu dan membaca buku-buku yang muktabar. Beliau telah memasuki Kolej Agama Zaqaziq pada tahun 1930an dan mendapat sijil agama pada tahun 1936.

Beliau telah memasuki Kuliah Bahasa Arab pada tahun 1937 dan beliau aktif dalam persatuan pelajar di Universiti al-Azhar. Beliau menjadi graduan pada tahun 1941 dan menyambung pelajaran dalam Pengkhususan Bahasa Arab (peringkat M.A) dan berjaya dalam tahun 1943. Beliau pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulamak al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan. Apabila ia tamat graduan, beliau bertugas sebagai guru agama di Kolej Tanta, kemudian berpindah di Kolej Zaqaziq, kemudian berpindah ke Kolej Agama Iskandariah. Pada tahun 1950, beliau menjadi guru di Kolej al-Anjal di Arab Saudi dan kemudian menjadi pensyarah syariah di Universiti Ummul Qura, Mekkah. Beliau mengajar di situ sehingga tahun 1963. Al-Sya’rawi mengambarkan bahawa kuliah Syariah ini terletak berhampiran dengan Masjidil Haram. Ketika saya mengajar, saya dapat melihat dengan jelas Kaabah dan ini memberi kesan yang besar terhadap jiwa saya, jiwa para guru dan pelajar-pelajar di situ. Pada waktu itu, tidak terlepas seditikpun dari mengingati Allah dan rasul-Nya.

Pada tahun 1963, apabila berlaku krisis antara Gamal Abdul Naser. Presiden Mesir dengan Raja Saud, maka Gamal Abdul Naser melarang beliau untuk ke Arab Saudi dan melantik beliau menjadi Pengarah di Pejabat Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan Makmun. Kemudian beliau bertugas di Algeria sebagai Wakil al-Azhar dan menetap di sana selama tujuh tahun. Apabila beliau pulang ke Mesir, beliau dilantik menjadi Pengarah Kementerian Wakaf, Negeri Gharbiyyah kemudian menjadi wakil bahagian Dakwah dan Pemikiran dan kemudian menjadi wakil al-Azhar. Selepas itu, beliau pergi ke Arab Saudi untuk mengajar dui Universiti Raja Abdul Aziz. Pada November 1976, Mamduh Salim menjadi Perdana Menteri Mesir dan melantik beliau menjadi Menteri Wakaf dan Pentadbiran Al-Azhar. Beliau menjadi menteri sehingga tahun 1978 selama dua tahun. Beliau memegang jawatan ini bukan kerana kepentingan dunia dan dikenali sebagai seorang menteri yang mudah berinteraksi dan bertanggungjawab. Pintu pejabatnya sentiasa untuk para ulamak, kawan-kawan dan pelajar-pelajar untuk berbincang dengannya. Walaupun menjawat jawatan menteri, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafkahkan gajinya kepada para pelajar dan orang miskin.

Dalam satu temuramah oleh Fatimah al-Sahrawi mengenai kenapa beliau menerima jawatan Menteri Wakaf dan kemudian meninggalkannya. Beliau menjawab : “ saya menerima kerana saya berpendapat saya telah lama meninggalkan Mesir sejak tahun 1950 dan berada di luar negeri. Saya tidak mempunyai hubungan dengan pemerintah dan pegawai-pegawainya. Dan apabila saya berdakwah saya dapati diri saya jauh dari mereka. Saya berfikir kenapa mereka meminta saya untuk memegang jawatan tersebut sedangkan saya berjauhan dengan mereka. Ini menandakan bahawa mereka memilih untuk melakukan sesuatu tugas yang mulia. Sekiranya saya tidak menerimanya, maka mereka akan mengatakan saya tamakkan harta kerana saya dibayar gaji di Arab Saudi sebanyak 2000 ribu sebulan sementara menjadi Menteri di Mesir sebanyak 250 Junaih tetapi saya perlu berkorban.” Dalam satu pertemuan yang lain mengenai isu ini juga, beliau mengatakan syukur kepada Allah kerana jawatan menteri itu bukan sesuatu yang diminta-minta tetapi ditawar kemudian beliau menerimanya.

Pada tahun 1980, beliau dilantik menjadi anggota Majma’ al-Buhuth al-Islamiah ( badan Penyelidikan Islam) di al-Azhar. Setelah itu, beliau bergiat dalam aktiviti dakwah dan menyebarkan ilmu dan menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya.

Beliau telah dianugerah pingat darjat pertama pada tahun 1976, sebelum dilantik menjadi Menteri Wakaf dan Pingat Kebangsaan pada tahun 1983 dan 1988. Beliau juga mendapat Doktor Kehormat Kesusasteraan dari Universiti Mansurah dan Universiti Manufia. Beliau juga dipilih sebagai pemenang tokoh oleh Negeri Daqaliah pada tahun 1989. Beliau juga pernah mendapat Anugerah Dubai dan Pingat Amir Zaid Ali Nahyan. Duit yang beliau dapat dari pingat itu disedekahlam kepada al-Azhar dan para pelajar di Bu’us Islamiah ( Asrama Pelajar al-Azhar).

Beliau juga terkenal sebagai seorang dermawan dan membuat kebajikan. Beliau mendirikan di kampungnya Daqadus Maahad Al-Azhar, Sekolah Tahfiz, Masjid dan Pusat Kesihatan untuk orang Miskin. Royalti buku-buku beliau didermakan untuk kebajikan. Beliau wafat pada pagi Rabu 22 Safar tahun 1419H bersamaan 17 Jun 1998.Jenazahnya telah dimandikan oleh Dr Omar Hashim dan diimamkan oleh Dr Sayyid al-Tantawi.Sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat kepada anak-anaknya agar jangan bergaduh kerana harta dan berwasiat agar disiapkan satu juzuk terakhir tafsir al-quran yang belum disiapkan lagi dengan melihat rakaman yang dirakamkan di TV dan Radio.Malah dua hari sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat agar mempersiapkan kuburan untuknya di kampung.

Menurut anaknya, Ahmad bahawa bapanya telah mengkhaskan daripada gajinya kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan kampungnya. Malahan wang yang diperolehi dari ceramah-ceramah, royalti buku dan majalah disedekahkan untuk orang ramai. Beliau pernah menafkah wang berjuta dolar yang dihadiahkan oleh Raja Dubai untuk aktiviti dakwah.

Mengenai kenapa beliau tidak memakai pakaian rasmi al-Azhar (iaitu berjubah dan serban Merah), beliau menjawab sememangnya beliau menyukai pakaian rasmi al-Azhar namun setelah beliau dituduh ingin merebut jawatan syeikh al-Azhar maka beliau menanggalkan pakaian tersebut untuk selamanya. Hal ini terjadi kerana beliau memberikan ciri-ciri dan syarat-syarat kelayakan untuk menjawat jawatan Syeikh al-Azhar kepada Anwar Sadat, Setelah itu orang beranggapan bahawa beliau menginginkan jawatan tersebut.Oleh kerana itu, untuk membuktikan keikhlasannya beliau menanggalkan pakaian yang amat disukainya.


Ahmad Bahjat menyifatkan Syeikh al-Sya’rawi seorang ahli tafsir semasa yang dapat menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan uslub yang mudah difahami oleh orang umum. Sementara Omar Hashim, bekas Rektor al-Azhar menyifatkannya sebagai seorang mujadid abad ini. Yusuf al-Qaradawi menyifatkan Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi seorang ahli al-Quran. Beliau merupakan seorang yang dikurniakan Allah kefahaman al-Quran dan rahsia-rahsianya serta pandangan-pandangannya mempunyai kesan kepada masyarakat umum, sama ada golongan terpelajar mahupun tidak. Tidak semua orang yang membaca al-Quran dapat menyelami makna-makna kecuali diberikan Allah kefahaman tersebut. Dan Syeikh al-Sya’rawi adalah orangnya yang diberikan Allah kurniaan tersebut. Menurut al-Qaradawi, Syeikh al-Sya’rawi keseluruhan hidupnya adalah untuk berkhidmat kepada agama Islam dan menyebarkan ilmu dan kematian ulamak merupakan satu kehilangan besar dan musibah kepada umat kerana apabila Allah menarik ilmu adalah dengan kematian ulamak. Apatah lagi dalam masa terdekat beberapa ulamak lainpun telah meninggal dunia sebelumnya seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Khalid Muhammad Khalid, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq (Syeikh al-azhar), Syeikh Abdullah bin Zayd Ali Mahmud, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghadah. Menurutnya lagi, sememanng ada yang bersepakat dengan Syeikh al-Sya’rawi dan ada yang berbeza pendapat dengannya seperti pandangannya mengenai pemindahan organ. Beliau tidak bersetuju pemindahan organ. Beliau juga tidak bersetuju untuk mengambil pendekatan menentang kerajaan dan mengambil pendekatan tadaruj sedangkan ada sesetengah golongan inginkan pendekatan kekuatan dan menentang pemerintah. Perkara ini sudah tentu berbeza dengan Syeikh al-Sya’rawi. Namun, kesemuanya bersetuju atas sumbangan dan khidmatnya dalam khidmat kepada agama Islam keseluruhannya, meninggikan kalimatnya dan berdakwah kepada masyarakat dengan bahasa yang mudah dan semasa. Al-Qaradawi menyebutkan lagi, Syeikh al-Sya’rawi merupakan gurunya dalam subjek Balaghah semasa beliau menuntut di Kolej Al-Azhar Tanta. Menurut al-Qaradawi, pada tahun 1417H, apabila beliau dianugerah Pingat Antarabangsa Syahsiyat Islam Dubai, saya telah diminta oleh pihak penganjur untuk menghadiri bagi menghormati beliau. Saya telah hadir dan apabila beliau mengetahui kehadiran saya beliau merasa sungguh seronok dan bergembira. Saya menghadiri majlis tersebut sebagai tanda menghormatinya dan sepatutnya kita sebagai seorang muslimin juga menghormati para ulamak kita seperti Syeikh al-Sya’rawi dan Muhammad al-Ghazali.


Syeikh al-Sya’rawi telah berkahwin dalam usianya yang masih muda atas permintaan bapanya yang inginkan beliau berkahwin awal dan isterinya adalah pilihan keluarga. Mereka dikurniakan 5 orang anak iaitu Sami, Abdul Rahim, Ahmad, Fatimah dan Solehah. Mengenai pendidikan anak-anak, al-Sya’rawi menyebutkan bahawa perkara yang penting ialah memberi contoh teladan dan sekiranya kita menunjukkan akhlak yang mulia sudah tentu mereka akan mengikutinya. Adalah menjadi kewajipan kita mendidik mereka dengan akhlak dan perangai yang mulia dan memelihara telinga dari mendengar perkara yang buruk, memelihara matanya dari melihat yang mungkar. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam dalam menunaikan amalan dan kewajipan agama, tekun dalam membuat kerja dan menunaikan solat pada waktunya.

Antara buku-buku karangannya :

1. Tafsir al-Sya’rawi (Tafsir al-Sya’rawi)
2. al-Isra’ wa al-Mi’raj (Isra dan Mikraj) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Dinie Publihers
3. al-Islam wa al-Fikr al-Mu’asir (Islam dan Pemikiran Semasa )
4. al-Islam wa al-Mar’ah (Islam dan wanita)
5. al-Tariq ila Allah (Jalan Menuju Allah)
6. al-Fatawa (Fatwa-Fatwa)
7. Mu’jizat al-Qur’an (Mukjizat al-Quran) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Nasional)
8. Min Fayd al-Rahman (Dalam Limpahan al-Rahman) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Yasmeen)
9. al-Qada’ wa Qadar (Qada dan Qadar)
10. al-Salat wa Arkan al-Islam.(Solat dan Rukun-Rukun Islam)
11. Nazarat fi al-Qur’an (Pandangan-Pandangan al-Quran)
12. Hadha Huwa al-Islam (Inilah Islam)
13. al-Hayat wa al-Maut (Kehidupan dan Kematian)
14. Al-Taubat (Taubat)
15. al-zalim wa al-zalimun (Zalim dan orang-orang Zalim)
16. Sirah al-Nabawiyyah ( Sejarah Nabi Muhammad s.a.w.)

Dan masih lagi banyak lagi buku-buku beliau terutama dalam penafsiran al-Quran dan persoalan umat semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan