Rabu, 31 Julai 2013

Dakwah yang hilang

Tidak syak lagi lagi,di era ini umat islam semakin berkembang bukan sahaja di Negara-negara yang rata-rata umatnya beragama islam bahkan di Negara-negara yang kebanyakan penduduknya tidak beragama islam.Hasil dari perkembangan ini dapat kita simpulkan bahawa dakwah islam itu semakin berkembang dan terus berkembang sehingga jumlah mereka yang turun ke medan dakwah bertambah dan bertambah hari demi hari.Namun disebalik kegembiraan hasil perkembangan jumlah umat islam hari ini,umat islam masih dalam keadaan lemah dan menyedihkan,ditindas,berada di bawah,dihina,dipandang buruk dan sebagainya. Persoalannya mengapakah semua ini terjadi disamping dakwah yang kuat dijalankan terus menerus di sana sini serta para pendakwah yang ramai?Pastinya ada sesuatu yang hilang yang merupakan pelengkap bagi dakwah yang sedia ada ini.

Terlebih dulu,marilah kita undur ke belakang melihat dan meneliti sehalus-halusnya serta memahami dakwah para Nabi yang terdahulu sehinggalah kepada sebaik-baik teladan iaitu Nabi Muhammad saw serta sahabat-sahabatnya yang terkesan dengan dakwah yang dibawa oleh nabi saw sehingga mereka menjadi mulia,tinggi,dipuji dan disebut-sebut nama mereka sehingga ke hari ini.

Risalah tauhid merupakan risalah yang dibawa oleh sekalian nabi sehinggalah nabi kita Muhammad saw dan risalah inilah yang dibawa oleh para pendakwah kini sebagai menyambung usaha dakwah yang dijalankan nabi-nabi terdahulu.Namun begitu,usaha mereka tidaklah terhenti dengan hanya menyeru manusia kepada mengesakan Allah taala,tetapi dengan mengajarkan orang ramai undang-undang syariat yang ditetapkan dan menghiasi mereka dengan akhlak-akhlak yang terpuji.

Jalan dakwah bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu berdakwah dengan ‘lisanul maqal’ ertinya berdakwah menggunakan kata-kata seperti nasihat,pengajaran,kisah-kisah teladan,tulisan, dan seumpamanya atau dengan ‘lisanul hal’ iaitu dengan akhlak dan budi pekerti yang baik yang ditunjukkan kepada masyarakat.Pastinya yang pertama lebih mudah dan tersebar luas di era globalisasi ini tambahan pula wujudnya alat-alat komunikasi yang semakin canggih yang boleh digunakan bagi memudahkan lagi usaha dakwah tersebar ke seluruh alam.Namun,berbeza pula dengan yang kedua iaitu berdakwah dengan ‘lisanul hal’ yang pastinya sangat sukar untuk kita dapati dan lihat pada zaman ini.Maka berbahagialah mereka yang mampu berdakwah bukan sahaja dengan ‘lisanul maqal’ bahkan dengan ‘lisanul hal’.

Inilah dakwah yang telah hilang pada zaman ini iaitu dakwah yang memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat dan kesan yang lebih mendalam kepada mereka yang diseru dan lebih meresap ke dalam hati-hati tetapi ditinggalkan dan dibiarkan hilang begitu sahaja oleh kebanyakan para da’ie pada zaman ini kecuali mereka yang memahami sirah dan jalanan dakwah rasulullah saw serta para sahabatnya dan para da’ie yang mengikuti jalanan mereka.

Allah swt berfirman di dalam surah al-ahzab ayat 21:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَ اليَومَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيراً.

Ertinya:Sungguh pada diri rasulullah SAW itu contoh teladan yang baik bagi mereka yang mengharapkan pertemuan dengan Allah SAW dan hari akhirat dan banyak mengingati Allah swt.
Maka,jelaslah di sini bahawa Nabi saw merupakan role model kepada sekalian umatnya baik dari segi akhlak,perbuatan,dan hal ehwalnya.Adapun dakwah Nabi saw dengan ‘lisanul maqal’ dan ‘lisanul hal’ maka termasuk dalam konteks perbuatan Nabi saw yang perlu diikuti dalam usaha dan perjalanan dakwah pada hari ini.

Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ahli hadis menunjukkan kepada kita uslub-uslub yang digunapakai oleh nabi saw di dalam usaha dakwah dan proses ta’lim kepada sahabat-sahabatnya yang pastinya uslub-uslub itu merupakan sebaik-baik uslub yang perlu diikuti dalam usaha dakwah pada hari ini.Jika dilihat di dalam hadis-hadis, uslub yang digunapakai tidaklah tertentu kepada satu uslub sahaja bahkan uslub yang pelbagai,namun apa yang ingin ditekankan di sini ialah mengenai qudwah atau contoh bagi setiap perkataan yang keluar daripada mulut para da’ie untuk dijadikan teladan dan pelajaran kepada masyarakat dengan kata lain pendengar tidak hanya mendengar akan perkara yang diucapkan dan diajarkan tetapi melihat sendiri apa yang diajarkan dan diperkatakan itu.Cara ini jelas lebih memberi kesan sepertimana yang dapat kita lihat di dalam sirah nabi saw sendiri.

Diantara contoh yang boleh dilihat ialah ketikamana selesai perdamaian diantara rasulullah saw dan kafir quraisy di Hudaibiyah,baginda nabi saw mengarahkan para sahabatnya agar bertahallul daripada ihram mereka, dan menyembelih korban dengan berkata kepada mereka: ”Bangkitlah kalian dan berkorbanlah kemudian cukurlah rambut kalian”.Maka para sahabat melengah-lengahkan arahan ini kerana tidak menganggap baik akan perdamaian itu dan melihat bahawa berperang itu lebih utama.Melihat akan yang demikian,Rasulullah saw bertemu isterinya ummu salamah RA dan menceritakan perihal sahabatnya lalu mengisyaratkan ummu salamah RA agar rasulullah saw melakukan terlebih dahulu perkara-perkara tersebut yang pastinya akan disusuli oleh sahabat-sahabatnya.Maka berbuat Nabi SAW sepertimana kata ummu salamah dan tatkala melihat sahabat-sahabat nabi akan yang yang demikian,mereka lantas bangkit dan mengikuti perbuatan Nabi saw.

Di sini dapat kita lihat betapa kuatnya kesan daripada sesuatu perkataan yang disusuli dengan perbuatan daripada perkataan itu sendiri.Maka tidak syak lagi bahawa dakwah atau ta’lim dengan perbuatan dan amal lebih kuat dan memberi kesan dalam diri seseorang,lebih membantu kepada faham,dan lebih menyeru dan mengajak orang ramai untuk menjadikan si pendakwah itu sebagai ikutan berbanding dakwah yang hanya dengan perkataan dan penjelasan semata-mata.Tambahan pula,mereka yang berdakwah dengan uslub ini sebenarnya sedang berdakwah pada setiap detik waktunya kerana akhlak dan budi perkerti baik yang ditunjukkan memberi kesan kepada orang lain yang berada disekitarnya.


Isnin, 29 Julai 2013

4 jenis golongan yang menghidupkan 10 malam terakhir daripada ramadhan:

1.Golongan yang pertama:-

Mereka yang menghidupkan malam-malam ini dengan bersungguh-sungguh beribadat sama ada dengan ibadat-ibadat solat berserta dengan panjang qiyam,rukuk dan sujudnya, berzikir,membaca al-quran,berdoa,belajar atau mengajar.

Mereka ini adalah golongan yang mengikut jejak rasulullah saw yang mana diceritakan bahawa nabi saw bersungguh-sungguh beribadat pada 10 malam terakhir daripada ramadhan melebihi daripada hari-hari sebelumnya.Diriwayatkan juga bahawa nabi saw berpesan kepada seorang sahabat supaya dicari malam lailatul qadr itu pada 10 malam yang terakhir daripada ramadhan.Inilah perbuatan para sahabat dan salafussoleh R.A dihikayatkan di dalam kisah-kisah mereka.

Maka,inilah golongan yang mendapat keuntungan di dunia dan akhirat dan mendapat kebaikan daripada waktu-waktu mereka.

2.Golongan yang kedua:-

Mereka yang menghidupkan malam-malam ini dengan merancakkan lagi perniagaan-perniagaan mereka dan menjadikan malam-malam ini waktu untuk mendapatkan duit lebih.Mereka menghidupkan malam-malam ini dengan perkara-perkara sedemikian dan lupa akan kelebihan 1 malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yang dijanjikan Allah swt di dalam 10 hari terakhir itu.Mereka ini lebih mementingan keuntungan duniawi berbanding keuntungan akhirat yang kekal abadi.

3.Golongan yang ketiga:-

Mereka yang menghidupkan malam-malam ini dengan perkara-perkara yang lalai dan sia-sia sama ada perkara-perkara tersebut berbentuk perbuatan atau percakapan.Mereka ini menghabiskan masa dengan berbual kosong,ketawa dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang tidak memberi manfat dan faedah.

4.Golongan yang keempat:-

Mereka yang menghidupkan malam-malam ini dengan perkara-perkara maksiat sama ada maksiat itu daripada dosa kecil atau dosa besar.Mereka ini menghabiskan masa mereka dengan perkara selain taat kepada Allah swt.Mereka ini golongan yang tidak pernah hirau dengan bulan ramadhan dan tidak pernah hirau akan hari-hari yang mempunyai kelebihan di dalam islam termasuklah malam lailatul qadr. Keinginan nafsu diturut demi keseronokan dan kelazatan yang sementara.
Golongan ini adalah golongan yang rugi dunia dan akhirat dan mendapat kemurkaan Allah swt kerana maksiat dan perbuatan dosa yang dilakukan..


Inilah 4 jenis golongan yang menghidupkan 10 malam yang terakhir daripada ramadhan.Maka berjaga-jagalah daripada termasuk di dalam golongan mereka-mereka yang rugi.Sesunggunhnya sebaik-baik contoh dan teladan itu adalah Rasulullah saw.