Dakwah yang hilang
Tidak syak
lagi lagi,di era ini umat islam semakin berkembang bukan sahaja di
Negara-negara yang rata-rata umatnya beragama islam bahkan di Negara-negara
yang kebanyakan penduduknya tidak beragama islam.Hasil dari perkembangan ini dapat
kita simpulkan bahawa dakwah islam itu semakin berkembang dan terus berkembang
sehingga jumlah mereka yang turun ke medan dakwah bertambah dan bertambah hari
demi hari.Namun disebalik kegembiraan hasil perkembangan jumlah umat islam hari
ini,umat islam masih dalam keadaan lemah dan menyedihkan,ditindas,berada di
bawah,dihina,dipandang buruk dan sebagainya. Persoalannya mengapakah semua ini
terjadi disamping dakwah yang kuat dijalankan terus menerus di sana sini serta
para pendakwah yang ramai?Pastinya ada sesuatu yang hilang yang merupakan
pelengkap bagi dakwah yang sedia ada ini.
Terlebih
dulu,marilah kita undur ke belakang melihat dan meneliti sehalus-halusnya serta
memahami dakwah para Nabi yang terdahulu sehinggalah kepada sebaik-baik teladan
iaitu Nabi Muhammad saw serta sahabat-sahabatnya yang terkesan dengan dakwah
yang dibawa oleh nabi saw sehingga mereka menjadi mulia,tinggi,dipuji dan
disebut-sebut nama mereka sehingga ke hari ini.
Risalah
tauhid merupakan risalah yang dibawa oleh sekalian nabi sehinggalah nabi kita
Muhammad saw dan risalah inilah yang dibawa oleh para pendakwah kini sebagai
menyambung usaha dakwah yang dijalankan nabi-nabi terdahulu.Namun begitu,usaha
mereka tidaklah terhenti dengan hanya menyeru manusia kepada mengesakan Allah
taala,tetapi dengan mengajarkan orang ramai undang-undang syariat yang
ditetapkan dan menghiasi mereka dengan akhlak-akhlak yang terpuji.
Jalan dakwah
bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu berdakwah dengan ‘lisanul maqal’ ertinya
berdakwah menggunakan kata-kata seperti nasihat,pengajaran,kisah-kisah
teladan,tulisan, dan seumpamanya atau dengan ‘lisanul hal’ iaitu dengan akhlak
dan budi pekerti yang baik yang ditunjukkan kepada masyarakat.Pastinya yang
pertama lebih mudah dan tersebar luas di era globalisasi ini tambahan pula
wujudnya alat-alat komunikasi yang semakin canggih yang boleh digunakan bagi
memudahkan lagi usaha dakwah tersebar ke seluruh alam.Namun,berbeza pula dengan
yang kedua iaitu berdakwah dengan ‘lisanul hal’ yang pastinya sangat sukar untuk
kita dapati dan lihat pada zaman ini.Maka berbahagialah mereka yang mampu
berdakwah bukan sahaja dengan ‘lisanul maqal’ bahkan dengan ‘lisanul hal’.
Inilah
dakwah yang telah hilang pada zaman ini iaitu dakwah yang memberikan impak yang
lebih besar kepada masyarakat dan kesan yang lebih mendalam kepada mereka yang
diseru dan lebih meresap ke dalam hati-hati tetapi ditinggalkan dan dibiarkan
hilang begitu sahaja oleh kebanyakan para da’ie pada zaman ini kecuali mereka
yang memahami sirah dan jalanan dakwah rasulullah saw serta para sahabatnya dan
para da’ie yang mengikuti jalanan mereka.
Allah swt
berfirman di dalam surah al-ahzab ayat 21:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ
فِي رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَ اليَومَ
الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيراً.
Ertinya:Sungguh
pada diri rasulullah SAW itu contoh teladan yang baik bagi mereka yang
mengharapkan pertemuan dengan Allah SAW dan hari akhirat dan banyak mengingati
Allah swt.
Maka,jelaslah
di sini bahawa Nabi saw merupakan role model kepada sekalian umatnya baik dari
segi akhlak,perbuatan,dan hal ehwalnya.Adapun dakwah Nabi saw dengan ‘lisanul
maqal’ dan ‘lisanul hal’ maka termasuk dalam konteks perbuatan Nabi saw yang
perlu diikuti dalam usaha dan perjalanan dakwah pada hari ini.
Hadis-hadis
yang diriwayatkan oleh ahli hadis menunjukkan kepada kita uslub-uslub yang
digunapakai oleh nabi saw di dalam usaha dakwah dan proses ta’lim kepada
sahabat-sahabatnya yang pastinya uslub-uslub itu merupakan sebaik-baik uslub
yang perlu diikuti dalam usaha dakwah pada hari ini.Jika dilihat di dalam
hadis-hadis, uslub yang digunapakai tidaklah tertentu kepada satu uslub sahaja
bahkan uslub yang pelbagai,namun apa yang ingin ditekankan di sini ialah
mengenai qudwah atau contoh bagi setiap perkataan yang keluar daripada mulut para
da’ie untuk dijadikan teladan dan pelajaran kepada masyarakat dengan kata lain
pendengar tidak hanya mendengar akan perkara yang diucapkan dan diajarkan
tetapi melihat sendiri apa yang diajarkan dan diperkatakan itu.Cara ini jelas
lebih memberi kesan sepertimana yang dapat kita lihat di dalam sirah nabi saw
sendiri.
Diantara contoh
yang boleh dilihat ialah ketikamana selesai perdamaian diantara rasulullah saw
dan kafir quraisy di Hudaibiyah,baginda nabi saw mengarahkan para sahabatnya
agar bertahallul daripada ihram mereka, dan menyembelih korban dengan berkata
kepada mereka: ”Bangkitlah kalian dan berkorbanlah kemudian cukurlah rambut
kalian”.Maka para sahabat melengah-lengahkan arahan ini kerana tidak menganggap
baik akan perdamaian itu dan melihat bahawa berperang itu lebih utama.Melihat
akan yang demikian,Rasulullah saw bertemu isterinya ummu salamah RA dan
menceritakan perihal sahabatnya lalu mengisyaratkan ummu salamah RA agar
rasulullah saw melakukan terlebih dahulu perkara-perkara tersebut yang pastinya
akan disusuli oleh sahabat-sahabatnya.Maka berbuat Nabi SAW sepertimana kata
ummu salamah dan tatkala melihat sahabat-sahabat nabi akan yang yang
demikian,mereka lantas bangkit dan mengikuti perbuatan Nabi saw.
Di sini
dapat kita lihat betapa kuatnya kesan daripada sesuatu perkataan yang disusuli
dengan perbuatan daripada perkataan itu sendiri.Maka tidak syak lagi bahawa
dakwah atau ta’lim dengan perbuatan dan amal lebih kuat dan memberi kesan dalam
diri seseorang,lebih membantu kepada faham,dan lebih menyeru dan mengajak orang
ramai untuk menjadikan si pendakwah itu sebagai ikutan berbanding dakwah yang
hanya dengan perkataan dan penjelasan semata-mata.Tambahan pula,mereka yang
berdakwah dengan uslub ini sebenarnya sedang berdakwah pada setiap detik
waktunya kerana akhlak dan budi perkerti baik yang ditunjukkan memberi kesan
kepada orang lain yang berada disekitarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan