Biografi ringkas mengenai Tuan Guru Hj Ismail Sepanjang
BIOGRAFI TUAN GURU HJ. ISMAIL BIN OMAR ( BABA EIL )
Kelahiran, Keluarga dan Pendidikan.
Nama asal beliau ialah Ismail bin Omar atau lebih dikenali sebagai Baba Eil
Spanjang iaitu panggilan bagi seorang Tuan Guru. Dilahirkan di Kampung Dusun
Spanjang Daerah Penarik, Patani kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Merupakan
anak lelaki tunggal dalam keluarga sebanyak 3 beradik.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Spanjang. Kemudian
menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya (200 meter) pada ketika
usia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan Almarhum
Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan Almarhum
Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu antaranya Tafser,
Hadis, Feqah, Nahu dan lain-lain. Manakala tiba musim cuti semester Baba Eil
pergi belajar di pondok lain pula bagi mengisi masa lapang.
Ketika umur beliau mencapai 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Haji Abdul
Qader Sekam (Baba Der) yang terkenal dengan ilmu tauhid untuk belajar di sana
sehinggalah umur beliau 30 tahun. Ketika di sana beliau bukan setakat mengajar
kepada pelajar tetapi mula menerima undangan mengajar masyarakat sekitar.
Antara tempat yang beliau masih mengajar hingga ke hari ini ialah Masjid Yala
(21 tahun) dan Masjid Patani (22 tahun).
Ketika umur beliau 29 tahun, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah
Sabariah Binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz (Pengarang Kitab Misbahul Munir).
Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahayamata ( 2 lelaki dan 3
perempuan ).Selepas itu ketika berumur 31 tahun, beliau telah pergi ke Mekah
dan bermuqim di sana selama 7 bulan.
Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, barulah Baba Eil membuka pondok di
Kampung Kubang Ikan Bandar, Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul
Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan
untuk memenuhi jemputan mengajar. Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah
berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Spanjang hinggalah ke hari
ini. Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang
datang dari pelbagai pelusuk dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia
dan Burma tanpa menerima bayaran.
Sehingga kini, terdapat lebih kurang 200 orang pelajar yang
sedang menuntut di pondok beliau. Pengajian berlangsung sepanjang tahun
melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal ( 2 bulan ), cuti
Raya Haji ( seminggu ) dan bulan Rabiulawal ( 1 bulan ).
Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada
setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala.. Kuliah Baba
Eil sering disiarkan di radio tempatan. Selain mengajar, Baba Eil memenuhi masa
lapang dengan mentelaah dan mengarang kitab.
Antara kitab karangan Baba Eil ialah “Mizan ad-Durari”,
“Hikam Jawi”, “Mawaiz al-Iman”, dan karangan dalam bidang tafsir,hadis dan
Qawaid. Selain itu,Baba Eil telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa
Persatuan Ulama Fathoni.
SUMBER: