Rabu, 13 Julai 2011

Memperbaiki Hati

Sampaikanlah (wahai Muhammad) khabar gembira itu kepada hamba-hambaKu bahawa Aku akan masukkan mereka di dalam syurga Adn. Iaitu mereka yang mendengar perkataan(pengajaran al-Quran & pengajaran2 lain) lalu mengikuti apa yg terbaik diantaranya.Mereka itulah orang-orang yg mendapat petunjuk daripada Allah SWT dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal sihat.
                                                                                                               
                                                                                             (Surah az-Zumar: ayat 17 & 18)

Daripada ayat ini,kita dapat melihat banyak perkara yang dinyatakan oleh Allah SWT diantaranya ada dikalangan umat Muhammad SAW yg digelar oleh Allah SWT sebagai al-I’bad (hamba-hamba Allah).Hamba-hamba Allah ini iaitu mereka yang ketikamana beramal atau beribadat,mereka melakukan dengan sebaik-baik amal dan mematuhi segala perkara yang disuruh dan menjauhi segala perkara yang dilarang.Jadi,dengan ayat ini sayogianya menjadi pendorong kepada kita untuk membaiki dan mempertingkatkan amal kita dari semasa ke semasa kerana kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk beribadat kepadaNya bukan atas dasar beramal itu sahaja, malahan melakukan sesuatu amal ibadat itu dengan sebaik-baiknya.

Tatkala beribadat dan memperhambakan diri kepada Allah SWT tentu sering kali kita merasakan banyak kekurangan dan kecacatan di dalam ibadat itu dan pasti akan timbul tandatanya bagaimana umat-umat terdahulu mampu beribadat dengan sebaik-baiknya dan bagaimana mereka memperbaiki amal mereka?Mungkin kita telah mendengar penjelasan-penjelasan daripada ustaz-ustaz di kaca television, radio, ceramah-ceramah, pembacaan  dan seumpamanya.Namun,apa yang hendak dikongsikan di ruangan ini iaitu bagaimana mereka-mereka yang digelar sebagai ahli sufi memperbaiki amal ibadat mereka dalam setiap aspek ubudiyahnya kepada Allah SWT.

Berdasarkan kata-kata ibnu Athoi’lah di dalam kitabnya “Hikam” bahawasanya kebaikan amal itu natijah daripada kebaikan hal ehwal hati (حسن الأعمال من حسن الأحوال ).Berpandukan kata-kata ini bermakna baiknya amal seseorang itu apabila baiknya hal ehwal hatinya.Kata-kata inii dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW bahawa “di dalam diri anak adam itu terdapat seketul daging,Apabila baik daging itu maka baiklah perbuatan seluruh anggotanya dan apabila rosak daging itu maka rosaklah perbuatan seluruh anggotanya,maka ketahuilah bahawa itulah hati”.Jadi,berdasarkan hadis ini,benarlah sepertimana yang dikatakan ibnu Athoi’lah di atas.Persolannya,bagaimanakah kita hendak membersihkan hati?

Apabila berlaku kerosakan atau kesakitan pada anggota badan, kita mampu mengesannya dan mengubatinya, tetapi apabila berlaku kerosakan pada hati,kita tidak mampu untuk mengesan dan mengatasinya lantas menjadikannya semakin hari semakin rosak sehingga menjauhkan diri kita daripada Allah SWT.      

Jawapannya ialah tidak dapat tidak kita perlu belajar ilmu yang khusus membaiki hati iaitu ilmu tasawwuf  atau dikenali sebagai ilmu qulub.Tanpa ilmu tasawwuf bermakna kita tiada ilmu untuk memperbaiki hati.Inilah ilmu yang perlu dipelajari kaedah-kaedahnya sedikit demi sedikit untuk memperbaiki hati yang bersandarkan kepada amalan-amalan dan ubudiyah semata-mata kepada     Allah SWT.

Mungkin kita telah dengar dan berbicara mengenai ilmu ini dalam kehidupan kita atau kita telah mempelajarinya di pusat-pusat pengajian tinggi dahulu misalnya,namun tiada natijah dan perubahan pada diri kita.Hal ini kerana,kebanyakan kita yang mempelajari ilmu ini hanyalah untuk peperiksaan semata-mata atau sekadar maklumat, pengetahuan dan bukannya untuk diamal, sedangkan ilmu tasawwuf ini adalah ilmu yang perlu dilazimkannya dengan amalan sehingga dikatakan ilmu tasawwuf itu adalah hasil daripada amalan seseorang. Misal yang boleh kita lihat ialah perbezaan antara solat orang-orang sufi dengan diri kita.Adupun solat mereka dengan solat kita tiada bezanya yang mana dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam berserta syarat-syarat yang ditetapkan. Namun jika kita telusurinya dengan lebih jauh,orang-orang sufi mampu menghadirkan hati mereka ketika solat sedangkan kita tidak mampu untuk menghadirkan hati dan khusyuk ketika solat.Jadi, khusyuk itu sendiri tidak akan tercapai jika tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan solat itu.Tambahan pula,banyak perkara-perkara di dalam agama ini yang perlu kepada amalan.Begitu jugalah ilmu tasawwuf yang ianya memerlukan kepada amalan untuk mendapatkan makna tasawwuf yang sebenar.

Jadi sebelum kita menelusuri kepada persoalan untuk membersihkan hati,sebaiknya kita mengetahui terlebih dahulu punca-punca yang menyebabkan hati rosak ataupun mati.Adapun Ibrahim bin Adham sepuluh sebab yang menjadi punca hati mati. Namun,apa yang ingin disebutkan di sini hanya 2 sebab yang mana merupakan sebab utama yang menyebabkan hati mati iaitu:

1. Lalai hati
2. Dosa yang dilakukan

Bermula daripada lalai hati inilah,maka sedikit demi sedikit diri kita akan cenderung kepada kesoronokan yang akhirnya terjerumus di dalam lembah kemaksiatan.Kerosakan hati ini apabila tidak dibaikinya dengan secepat mungkin maka awaslah dengan kerosakan yang akan berlaku sepertimana satu tangki besar  yang retak yang di dalam penuh dengan air,Jika dibiarkan dan tidak dibaik pulih maka lama kelamaan retaknya bertambah besar dan besar sehingga akhirnya pecah.Begitu jugalah hati,jika rosaknya itu tidak dibaiki maka sakitnya akan tersebar keseluruh anggota badannya sehingga memberi kesan yang negatif kepada percakapan, perbuatan dan akhlak seseorang itu sendiri sepertimana yang disebut di dalam hadis di atas.

Maka,2 punca tadi akan hilang dengan 2 kunci sepertimana yang telah diamalkan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita iaitu taubat dan istighfar kepada Allah SWT disamping melazimkan diri dengan berzikir. Bermula dengan taubat dan diikuti dengan istighfar kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan kehinaan,hati yang rosak tadi lama kelamaan akan terubat sedikit demi sedikit sehingga diterangi dengan cahaya iman yang mantap dan kental lantas mempengaruhi setiap gerak geri kehidupan kita.


Kehidupan yang penuh dengan kegelapan akan bertukar kepada cahaya, kegelisahan kepada ketenangan, kesedihan kepada kegembiraan, kehidupan yang terumbang ambing kepada yang lebih teratur sehinggakan setiap anggotanya disibukkan dengan perkara-perkara yang diredhai Allah SWT, lisannya dibasahi dengan berzikir kepadaNya, pandangannya mengambil iktibar akan setiap kejadianNya dan setiap geraknya disertai dengan perhambaan kepadaNya.


Tunggu apa lagi wahai sang pencinta Khalik dan kekasihNya..Fitrahkan hatimu. ,Sentiasalah menghitung diri, jika kebaikan yang ditemui, bersyukurlah kepada Allah SWT, tetapi jika sebaliknya, maka celalah dirimu dan bertaubatlah kepada Allah SWT..Sikap kamu yang melewat2 dan menangguhkan taubat tidak lain hanya menjauhkanmu daripada rahmat Allah dan sunnah rasulNya SAW..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan