Khamis, 28 Julai 2011

Yang Mana Satu



Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah,segala puji bagi bagi Allah yang mengizinkan kita melintasi bulan rejab dan kemudiannya sya’ban dan tidak berapa lama lagi kepada ramadhan,bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan barakah. Mudah-mudahan rejab dan sya’ban yang berlalu tidak kosong dengan amalan-amalan dan zikir kepada Allah SWT dan begitu juga dengan ramadhan yang dinanti-nanti. Ramadhan merupakan satu bulan yang Allah SWT kurniakan kepada umat Muhammad SAW dengan pelbagai kelebihan dan rahsia.Setinggi-tinggi pujian dan syukur kepada Allah SWT kerana menjadikan kami di kalangan orang-orang yang beriman dan di kalangan umat Muhammad SAW..


Ramadhan merupakan satu bulan yang diwajibkan ke atas umat Islam untuk berpuasa di dalamnya sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa”..(ayat 183)


Ramadhan, bolehlah kita umpamakannya sebagai tetamu yang datangnya berjadual sekali dalam setahun. Maka apabila dikatakan dengan tetamu,adakala ianya menyenangkan, adakala ianya menyusahkan dan adakala ianya sangat-sangat menyusahkan.Tambahan pula,kehadiran bulan ramadhan dengan amalan puasa yang difardukan ke atas semua umat Islam yang cukup syarat.Selain itu, amalan- amalan sunat yang banyak seperti solat tarawih,tadarus di samping pengisian seperti tazkirah dan lainnya.


Tetamu boleh kita kategorikan kepada tiga iaitu:

Yang pertama: Tetamu yang kita kenal
Yang kedua   : Tetamu yang tidak dikenali
Yang ketiga   : Musuh kita


Maka sesiapa yang meletakkan ramadhan sebagai tetamu di dalam kategori yang pertama, pastinya menunggu-nunggu akan kedatangan ramadhan.Mereka inilah yang memperoleh ganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah SWT dan rasulNya berserta kebaikan-kebaikan yang ada di dalam bulan ini.


Mereka yang meletakkan ramadhan sebagai tetamu di dalam kategori yang kedua, ialah mereka yang menganggap kedatangan ramadhan ini seolah-olah sama sahaja bagi mereka seperti hari-hari dan bulan-bulan yang lain. Ada dan tiada bulan ramadhan itu tidak menjadi masalah dan tidak pula mendatangkan masalah bagi mereka.Golongan ini kemungkinan mendapat kelebihan di dalam bulan ramadhan tetapi hanya sedikit dan tidak mampu membawanya kepada hakikat puasa.


Golongan yang meletakkan ramadhan sebagai tetamu di dalam kategori yang ketiga pula, ialah mereka yang tidak mendapat sedikit manfaat pun dengan kedatangan ramadhan tetapi hanya merugikan dan membinasakan dirinya.Mereka inilah golongan yang kuat berfoya-foya dan cintakan dunia melebihi akhirat.Kedatangan ramadhan seolah-olah menyekat pergerakan mereka sedangkan kedatangan ramadhan itu merupakan rahmat baginya. Tambahan pula,kehadiran bulan ramadhan dengan amalan puasa yang difardukan ke atas semua umat Islam yang cukup syarat.Selain itu, amalan- amalan sunat yang banyak seperti solat tarawih,tadarus di samping pengisian seperti tazkirah dan lainnya.Mereka ini seolah-olah orang yang dalam kehausan lalu dihulurkan kepadanya air tetapi ditolak dan dimarahi pula si pembawa air tadi. Sikapnya itu hanya membawa kepada kerugian dan kebinasaan pada dirinya.


Oleh itu, sama-samalah kita muhasabah dan menghitung diri. Adakah kita menganggap kehadiran ramadhan sebagai ‘durian runtuh’ yang menggembirakan atau sebagai ribut taufan yang menyusahkan..Yang mana satu pilihan kita..??Moga kita tidak tersilap pilih..antara kaca dan permata,ketenangan dan kegelisahan,kebahagian dan kesengsaraan,surga dan neraka,dan antara redha Khaliq dan makhluk..


Mudah-mudahan Allah SWT memberi taufiq dan hidayah- Nya kepada kita, memudahkan, memberi kekuatan dan kesihatan, dan meringankan tubuh kita untuk bangkit beribadat kepadaNya..

amin...


Ahlan Ya Ramadhan.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan