Khamis, 28 Julai 2011

Yang Mana Satu



Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah,segala puji bagi bagi Allah yang mengizinkan kita melintasi bulan rejab dan kemudiannya sya’ban dan tidak berapa lama lagi kepada ramadhan,bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan barakah. Mudah-mudahan rejab dan sya’ban yang berlalu tidak kosong dengan amalan-amalan dan zikir kepada Allah SWT dan begitu juga dengan ramadhan yang dinanti-nanti. Ramadhan merupakan satu bulan yang Allah SWT kurniakan kepada umat Muhammad SAW dengan pelbagai kelebihan dan rahsia.Setinggi-tinggi pujian dan syukur kepada Allah SWT kerana menjadikan kami di kalangan orang-orang yang beriman dan di kalangan umat Muhammad SAW..


Ramadhan merupakan satu bulan yang diwajibkan ke atas umat Islam untuk berpuasa di dalamnya sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa”..(ayat 183)


Ramadhan, bolehlah kita umpamakannya sebagai tetamu yang datangnya berjadual sekali dalam setahun. Maka apabila dikatakan dengan tetamu,adakala ianya menyenangkan, adakala ianya menyusahkan dan adakala ianya sangat-sangat menyusahkan.Tambahan pula,kehadiran bulan ramadhan dengan amalan puasa yang difardukan ke atas semua umat Islam yang cukup syarat.Selain itu, amalan- amalan sunat yang banyak seperti solat tarawih,tadarus di samping pengisian seperti tazkirah dan lainnya.


Tetamu boleh kita kategorikan kepada tiga iaitu:

Yang pertama: Tetamu yang kita kenal
Yang kedua   : Tetamu yang tidak dikenali
Yang ketiga   : Musuh kita


Maka sesiapa yang meletakkan ramadhan sebagai tetamu di dalam kategori yang pertama, pastinya menunggu-nunggu akan kedatangan ramadhan.Mereka inilah yang memperoleh ganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah SWT dan rasulNya berserta kebaikan-kebaikan yang ada di dalam bulan ini.


Mereka yang meletakkan ramadhan sebagai tetamu di dalam kategori yang kedua, ialah mereka yang menganggap kedatangan ramadhan ini seolah-olah sama sahaja bagi mereka seperti hari-hari dan bulan-bulan yang lain. Ada dan tiada bulan ramadhan itu tidak menjadi masalah dan tidak pula mendatangkan masalah bagi mereka.Golongan ini kemungkinan mendapat kelebihan di dalam bulan ramadhan tetapi hanya sedikit dan tidak mampu membawanya kepada hakikat puasa.


Golongan yang meletakkan ramadhan sebagai tetamu di dalam kategori yang ketiga pula, ialah mereka yang tidak mendapat sedikit manfaat pun dengan kedatangan ramadhan tetapi hanya merugikan dan membinasakan dirinya.Mereka inilah golongan yang kuat berfoya-foya dan cintakan dunia melebihi akhirat.Kedatangan ramadhan seolah-olah menyekat pergerakan mereka sedangkan kedatangan ramadhan itu merupakan rahmat baginya. Tambahan pula,kehadiran bulan ramadhan dengan amalan puasa yang difardukan ke atas semua umat Islam yang cukup syarat.Selain itu, amalan- amalan sunat yang banyak seperti solat tarawih,tadarus di samping pengisian seperti tazkirah dan lainnya.Mereka ini seolah-olah orang yang dalam kehausan lalu dihulurkan kepadanya air tetapi ditolak dan dimarahi pula si pembawa air tadi. Sikapnya itu hanya membawa kepada kerugian dan kebinasaan pada dirinya.


Oleh itu, sama-samalah kita muhasabah dan menghitung diri. Adakah kita menganggap kehadiran ramadhan sebagai ‘durian runtuh’ yang menggembirakan atau sebagai ribut taufan yang menyusahkan..Yang mana satu pilihan kita..??Moga kita tidak tersilap pilih..antara kaca dan permata,ketenangan dan kegelisahan,kebahagian dan kesengsaraan,surga dan neraka,dan antara redha Khaliq dan makhluk..


Mudah-mudahan Allah SWT memberi taufiq dan hidayah- Nya kepada kita, memudahkan, memberi kekuatan dan kesihatan, dan meringankan tubuh kita untuk bangkit beribadat kepadaNya..

amin...


Ahlan Ya Ramadhan.....

Khamis, 21 Julai 2011

Himpunan Ummah Berselawat



 



 Bismillah wal Hamdulillah

Setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT dan sebanyak-banyak selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Sayyidina Muhammad SAW, idola sepanjang zaman, cahaya sepanjang jalan, dan rahmat sekalian alam. Pastinya sebesar-besar nikmat selapas nikmat islam dan iman itu ialah menjadi umat Muhammad SAW..Kerana insan bernama Muhammad inilah, Allah SWT memuliakan dan melebihkan kita berbanding dengan umat-umat yang terdahulu.


Dikisahkan seorang pemuda bermimpi bertemu Rasulullah SAW di dalam mimpinya dan Rasulullah SAW sedikit pun tidak berpaling kepadanya..Lalu pemuda tadi bertanya kepada Rasulullah SAW: Adakah kau marahkan aku Ya Rasulullah??.. Tidak,jawab Rasulullah SAW..Lalu lelaki tadi bertanya lagi:Mengapa kau tidak memandang kepadaku Ya Rasulullah?? Aku tidak mengenalimu,jawab Rasulullah SAW…Pemuda itu bertanya lagi: Bukankah aku ini lelaki daripada umatmu Ya Rasulullah, dan para ulama kesemuanya mengatakan bahawa engkau mengenali umat-umat engkau??..Lalu berkata Rasulullah SAW: Benar kata mereka..tetapi engkau tidak mengingati aku dengan berselawat ke atas aku..Sesungguhnya ma’rifah aku ke atas umat-umat aku adalah dengan kadar selawat mereka ke atas aku…


Lelaki tadi kemudiannya tersedar dari mimpinya dan lantas melazimkan dirinya dengan berselawat ke atas Nabi SAW 100 kali sehari dan berterusan melakukannya.. Tidak lama selepas itu,lelaki tadi sekali lagi bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW mengenalinya…


MasyaAllah…Mahabbah cinta kita kepada Sayyidina Muhammad pasti akan membawa kita kepadanya di akhirat kelak dan di dunia ini dengan hadirnya Rasulullah SAW di benak hati dan mengamalkan sunnah-sunnahnya SAW sepertimana sabda Nabi SAW: Seseorang itu akan bersama dengan siapa yang ia kasihi”…


Sama-samalah kita menghadirkan diri pada majlis yang mulia ini dan juga menghadirkan Rasulullah SAW di dalam benak hati kita..Berselawatlah sebanyak-banyaknya ke atas junjungan kita Sayyidina Muhammad SAW..Jangan lepaskan peluang ini..Mudah-mudah kita beroleh manfaat daripada majlis-masjis sebegini..


InsyaAllah,sama-sama kita sebarkan majlis-majlis sebegini kepada orang ramai.. Setiap kebaikan seseorang yang datang daripada jemputan anda, insyaAllah merupakan ganjaran pahala dan kebaikan bagi diri anda…

Rabu, 20 Julai 2011

Jumaat, 15 Julai 2011

Lantunan Mahabbah



                                  


Alhamdulillah,dalam sebuah hadis, Nabi SAW menyebut:"seseorang itu akan bangkit pada hari akhirat nanti bersama dengan siapa dia kasih"..Tuan2,dalam majlis ini,orang yang paling saya kasih ialah syaikhi al-Habib as-Syeikh Nuruddin al-Marbu al-Banjari..Sesiapa yang nak bangkit denagn al-Fadhil Syeikh marilah bangun bersama-sama dengan saya..sapa2 yang nak bangkit denagn al-Fadhil Syeikh,bangun!!!Nabi SAW sebut:"seseoarang itu akan bangun dengan siapa yang dia paling kasih..Tuan2,bayangkan Tuhan pilih kita pada hari ini untuk menghadiri majlis yang paling mulia ini,pada hari yang sangat mulia,..Alangkah bertuahnya kita kalau pada saat bangkit nanti,semua kita bangkit macam ni.

Alhamdulillah..Tuan2,bayangkan Nabi SAW berjalan di hadapan kita memilih umatnya..Bayangkan kalau kita tidak diperakukan oleh NAbi SAW sebagai ummatnya..Di mana kita nak letakkan diri??Bayangkan di hari yang tidak ada syafaat melainkan syafaat Nabi SAW..

Tuan2,marilah kita sama-sama menghayati bangun bangkit kita pada pagi ini kita berada di padang mahsyar dengan hati yang tulus dengan hati yang kerdil..Kita mengharapkan Nabi SAW memandang kita,,melihat kita pada hari yang sungguh mulia,pada hari yang sungguh bernilai syafaat Nabi SAW..

Tuan2,,,mari kita bayangkan Nabi SAW berjalan di hadapan kita..Tuan,,,Nabi SAW nak pandang kita tak pada hari kiamat nanti??Dengan dosa kita yang banyak ni,,dengan ketaksiran kita mengikut akan perintah dan ajarannya..Adakah bakal dipilih kita sebagai ummatnya??? Tuan2,, bersama-sama kita mengharapkan syafaat Nabi SAW pada hari yang sebegitu penting kita memohon pertolongan Nabi SAW..Tuan2,,bayangkan pada saat bangkit pada akhirat nanti,,kita mendapatkan Nabi SAW,,kita memegang tangan Baginda SAW,,kita mengucup tangan Nabi SAW,,kita mendakap Nabi SAW...

Tuan2,,bayangkan saat kita ke telaga Kauthar..Pada saat Nabi SAW menyambut kita di telaga Kauthar sebagai ummatnya..Bayangkan buat pertama kali kita melihat wajah Nabi SAW,,yang selalu kita berkhidmat kepadanya di dunia ini dengan mengucapkan selawat pada Nabi SAW..Alangkah beruntungnya kita seandainya Nabi SAW menerima kita sebagai ummatnya pada hari yang sebegitu kita mengharapkan pertolongan Nabi SAW..

Tuan2,,marilah kita semai rasa cinta kasih dan sayang kepada Nabi SAW..Sehingga Nabi SAW lebih kita cinta daripada kita mencintai ibu dan ayah kita,,lebih daripada kita cinta kepada anak-anak kita,,lebih daripada kita cinta kepada manusia seluruhnya..Kita cinta Nabi SAW..Kita cinta Rasul SAW...


Allahumma solli a'la sayyidina Muhammad...balligh salaamana Ya Allah a'la khairil anam habibina Muhammad sollahu a'lahi wa sallam..

Rabu, 13 Julai 2011

Memperbaiki Hati

Sampaikanlah (wahai Muhammad) khabar gembira itu kepada hamba-hambaKu bahawa Aku akan masukkan mereka di dalam syurga Adn. Iaitu mereka yang mendengar perkataan(pengajaran al-Quran & pengajaran2 lain) lalu mengikuti apa yg terbaik diantaranya.Mereka itulah orang-orang yg mendapat petunjuk daripada Allah SWT dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal sihat.
                                                                                                               
                                                                                             (Surah az-Zumar: ayat 17 & 18)

Daripada ayat ini,kita dapat melihat banyak perkara yang dinyatakan oleh Allah SWT diantaranya ada dikalangan umat Muhammad SAW yg digelar oleh Allah SWT sebagai al-I’bad (hamba-hamba Allah).Hamba-hamba Allah ini iaitu mereka yang ketikamana beramal atau beribadat,mereka melakukan dengan sebaik-baik amal dan mematuhi segala perkara yang disuruh dan menjauhi segala perkara yang dilarang.Jadi,dengan ayat ini sayogianya menjadi pendorong kepada kita untuk membaiki dan mempertingkatkan amal kita dari semasa ke semasa kerana kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk beribadat kepadaNya bukan atas dasar beramal itu sahaja, malahan melakukan sesuatu amal ibadat itu dengan sebaik-baiknya.

Tatkala beribadat dan memperhambakan diri kepada Allah SWT tentu sering kali kita merasakan banyak kekurangan dan kecacatan di dalam ibadat itu dan pasti akan timbul tandatanya bagaimana umat-umat terdahulu mampu beribadat dengan sebaik-baiknya dan bagaimana mereka memperbaiki amal mereka?Mungkin kita telah mendengar penjelasan-penjelasan daripada ustaz-ustaz di kaca television, radio, ceramah-ceramah, pembacaan  dan seumpamanya.Namun,apa yang hendak dikongsikan di ruangan ini iaitu bagaimana mereka-mereka yang digelar sebagai ahli sufi memperbaiki amal ibadat mereka dalam setiap aspek ubudiyahnya kepada Allah SWT.

Berdasarkan kata-kata ibnu Athoi’lah di dalam kitabnya “Hikam” bahawasanya kebaikan amal itu natijah daripada kebaikan hal ehwal hati (حسن الأعمال من حسن الأحوال ).Berpandukan kata-kata ini bermakna baiknya amal seseorang itu apabila baiknya hal ehwal hatinya.Kata-kata inii dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW bahawa “di dalam diri anak adam itu terdapat seketul daging,Apabila baik daging itu maka baiklah perbuatan seluruh anggotanya dan apabila rosak daging itu maka rosaklah perbuatan seluruh anggotanya,maka ketahuilah bahawa itulah hati”.Jadi,berdasarkan hadis ini,benarlah sepertimana yang dikatakan ibnu Athoi’lah di atas.Persolannya,bagaimanakah kita hendak membersihkan hati?

Apabila berlaku kerosakan atau kesakitan pada anggota badan, kita mampu mengesannya dan mengubatinya, tetapi apabila berlaku kerosakan pada hati,kita tidak mampu untuk mengesan dan mengatasinya lantas menjadikannya semakin hari semakin rosak sehingga menjauhkan diri kita daripada Allah SWT.      

Jawapannya ialah tidak dapat tidak kita perlu belajar ilmu yang khusus membaiki hati iaitu ilmu tasawwuf  atau dikenali sebagai ilmu qulub.Tanpa ilmu tasawwuf bermakna kita tiada ilmu untuk memperbaiki hati.Inilah ilmu yang perlu dipelajari kaedah-kaedahnya sedikit demi sedikit untuk memperbaiki hati yang bersandarkan kepada amalan-amalan dan ubudiyah semata-mata kepada     Allah SWT.

Mungkin kita telah dengar dan berbicara mengenai ilmu ini dalam kehidupan kita atau kita telah mempelajarinya di pusat-pusat pengajian tinggi dahulu misalnya,namun tiada natijah dan perubahan pada diri kita.Hal ini kerana,kebanyakan kita yang mempelajari ilmu ini hanyalah untuk peperiksaan semata-mata atau sekadar maklumat, pengetahuan dan bukannya untuk diamal, sedangkan ilmu tasawwuf ini adalah ilmu yang perlu dilazimkannya dengan amalan sehingga dikatakan ilmu tasawwuf itu adalah hasil daripada amalan seseorang. Misal yang boleh kita lihat ialah perbezaan antara solat orang-orang sufi dengan diri kita.Adupun solat mereka dengan solat kita tiada bezanya yang mana dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam berserta syarat-syarat yang ditetapkan. Namun jika kita telusurinya dengan lebih jauh,orang-orang sufi mampu menghadirkan hati mereka ketika solat sedangkan kita tidak mampu untuk menghadirkan hati dan khusyuk ketika solat.Jadi, khusyuk itu sendiri tidak akan tercapai jika tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan solat itu.Tambahan pula,banyak perkara-perkara di dalam agama ini yang perlu kepada amalan.Begitu jugalah ilmu tasawwuf yang ianya memerlukan kepada amalan untuk mendapatkan makna tasawwuf yang sebenar.

Jadi sebelum kita menelusuri kepada persoalan untuk membersihkan hati,sebaiknya kita mengetahui terlebih dahulu punca-punca yang menyebabkan hati rosak ataupun mati.Adapun Ibrahim bin Adham sepuluh sebab yang menjadi punca hati mati. Namun,apa yang ingin disebutkan di sini hanya 2 sebab yang mana merupakan sebab utama yang menyebabkan hati mati iaitu:

1. Lalai hati
2. Dosa yang dilakukan

Bermula daripada lalai hati inilah,maka sedikit demi sedikit diri kita akan cenderung kepada kesoronokan yang akhirnya terjerumus di dalam lembah kemaksiatan.Kerosakan hati ini apabila tidak dibaikinya dengan secepat mungkin maka awaslah dengan kerosakan yang akan berlaku sepertimana satu tangki besar  yang retak yang di dalam penuh dengan air,Jika dibiarkan dan tidak dibaik pulih maka lama kelamaan retaknya bertambah besar dan besar sehingga akhirnya pecah.Begitu jugalah hati,jika rosaknya itu tidak dibaiki maka sakitnya akan tersebar keseluruh anggota badannya sehingga memberi kesan yang negatif kepada percakapan, perbuatan dan akhlak seseorang itu sendiri sepertimana yang disebut di dalam hadis di atas.

Maka,2 punca tadi akan hilang dengan 2 kunci sepertimana yang telah diamalkan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita iaitu taubat dan istighfar kepada Allah SWT disamping melazimkan diri dengan berzikir. Bermula dengan taubat dan diikuti dengan istighfar kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan kehinaan,hati yang rosak tadi lama kelamaan akan terubat sedikit demi sedikit sehingga diterangi dengan cahaya iman yang mantap dan kental lantas mempengaruhi setiap gerak geri kehidupan kita.


Kehidupan yang penuh dengan kegelapan akan bertukar kepada cahaya, kegelisahan kepada ketenangan, kesedihan kepada kegembiraan, kehidupan yang terumbang ambing kepada yang lebih teratur sehinggakan setiap anggotanya disibukkan dengan perkara-perkara yang diredhai Allah SWT, lisannya dibasahi dengan berzikir kepadaNya, pandangannya mengambil iktibar akan setiap kejadianNya dan setiap geraknya disertai dengan perhambaan kepadaNya.


Tunggu apa lagi wahai sang pencinta Khalik dan kekasihNya..Fitrahkan hatimu. ,Sentiasalah menghitung diri, jika kebaikan yang ditemui, bersyukurlah kepada Allah SWT, tetapi jika sebaliknya, maka celalah dirimu dan bertaubatlah kepada Allah SWT..Sikap kamu yang melewat2 dan menangguhkan taubat tidak lain hanya menjauhkanmu daripada rahmat Allah dan sunnah rasulNya SAW..

Khamis, 16 Jun 2011

Taubat

Setiap tanah yang gersang memerlukan siraman air dan keperluan makanannya untuk hidup kembali.Begitu juga hati yang mati,memerlukan kepada kepada siraman nurani untuk menyuburkannya kembali.Untaian nasihat dan kata-kata hikmah daripada para ulama merupakan salah satu daripada sarana penyubur hati.

Maha suci Allah yang Maha Menghidupkan bumi yang sebelumnya mati(gersang), dan Dialah yang Maha menghidupkan hati-hati yang mati.Hidupkanlah hati kami Ya Allah dengan nur dan makrifat-Mu.

Hati diumpamakan sebagai raja di dalam diri dan raja atas setiap anggota tubuh badan manusia seperti kaki,tangan,mata,telinga dan seumpamanya.Semuanya merupakan nikmat daripada Khaliq kepada para hambanya yang hina dan kesemuanya itu mempunyai kebaikan yang berupa kebaikan dunia dan juga akhirat.Persoalannya bagaimana kita mensyukuri nikmat daripada Maha pemberi nikmat dalam kehidupan kita?Maka hatilah yang merupakan kunci dalam mesyukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita.Hati yang merupakan asas sebelum anggota tubuh kita membenarkan atau mendustakan apa yang diniatkan di hati.Kerana itulah ulama-ulama besar seperti Imam Nawawi,Imam Bukhari dan kebanyakan ulama yang lain memulakan kitab2 mereka dengan hadis (إنما الأعمال بالنيات) sebagai peringatan kepada diri dan orang ramai agar membetulkan niat dalam segenap aspek pekerjaan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan itu.Kerana itu,tidak hairanlah ada ulama yang mengatakan bahawa akal itu di hati dan otak itu di kepala (العقل في القلب والمخ في الرأس).

Setiap pekerjaan pastinya dimulakan dengan muqaddimah dan pendahaluan atau menekankan aspek2 yang lebih utama sebelum berpindah kepada peringkat yang seterusnya.Contohnya baju yang terkena najis,maka perkara pertama yang kita lakukan untuk menyucikannya ialah dengan membuang najis itu sebelum membasuhnya dengan air dan seterusnya.Begitu juga hati,perkara pertama yang mesti dilakukan ialah dengan bertaubat kepada Allah SWT sebelum kita melazimkan diri kita dengan berzikir, beramal, menyibukkan diri dengan mencari ilmu dan seumpamanya dalam menyuburkan hati.Hati yang kotor dengan maksiat dan dosa sukar untuk menerima ilmu dan kebenaran sebagaimana cahaya tidak dapat menembusi bekas kaca yang dikotori dengan kotoran hitam berbanding bekas kaca yang bersih keadaannya.Kerana itulah imam Ghazali mengatakan bahawa seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu,janganlah dia beramal dengannya sebelum terlebih dahulu bertaubat & memohon keampunan kepada Allah SWT.Taubat dan penyesalan atas dosa yang dilakukan akan memudahkan lagi perjalanan kita dalam menyuburkan hati dan perjalanan menuju Sang Khalik dan ganjaran yang akan menanti ialah keampunan Allah SWT dan surga yang kekal abadi sepertimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 135 & 136 yg bermaksud:

Dan orang2 apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri,mereka segera mengingati Allah swt dan memohan keampunan atas dosa-dosanya dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah.Dan mereka tidak pula meneruskan perbuatan dosa itu sedang mereka mengetahui.Balasan bagi mereka ialah ampunan dari tuhan mereka  dan surga-surga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya.Dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.

Lihat dan renungkanlah, luasnya keampunan dan kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya.Walaupun sebesar mana pun dosa-dosa yang dilakukan oleh hamba2Nya,besar lagi keampunanNya.Itulah kelebihan bagi orang-orang yang bertaubat kepada Allah swt.Pintu taubat sentiasa terbuka luas bagi mereka yang mendambakan keampunan daripada Allah swt dan menyesali akan segala kesalahan dan perbuatan mungkar yang dilakukan sebelum ini.Terserah pada diri kita sama ada kita memasukinya atau tidak.Orang yang bijak dan pandai menggunakan akal yang dikurrniakan Allah swt kepadanya pasti dan pasti akan memasukinya pintu yang terbentang luas dihadapannya yg menyebabkannya sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah swt.Tambahan pula orang2 yg bertaubat ini dicintai Allah swt sepertimana yg disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 222 yg bermaksud:

Sesungguhnya Allah mencintai orang2 yg bertaubat dan menyukai orang2 yg menyucikan diri.

Pengetahuan bahawa di dalam taubat itu terdapat rahsia-rahsia yg diantaranya cinta Allah swt kepada hamba-hambanya yg bertaubat sudah cukup untuk membangkitkan semangat seseorang yg beriman untuk bertaubat kepada Allah swt dan cenderung untuk melakukan amalan-amalan soleh.Tambahan pula,cita-cita tertingi orang-orang yg beriman adalah mendapatkan cinta Allah swt.Cukuplah Rasulullah saw sebagai teladan kepada kita sebagaimana yg disebutkan di dalam al-Quran bahawa Rasulullah saw merupakan qudwah atau contoh teladan yg terbaik pada diri kita.Lihat sahaja pada diri Rasulullah saw, insan yg diagungkan dan dimuliakan Allah dengan pelbagai kelebihan tetapi tetap membanyakkan ibadatnya kepada Allah swt dan diriwayatkan bahawasanya nabi saw beristigfar sebanyak 70 hingga 100 kali sehari.

Maka,adakah urusan lain lagi yg lebih penting daripada taubat sedangkan taubat merupakan pokok perkara yg menyelamatkan seseorang daripada segala dosa.Allah swt telah memerintahkan hamba-hambaNya agar bertaubat kepadanya dan ditunjukkan cara-cara bertaubat serta dijanjikan pula dengan pengabulan dan balasan-balasan yg baik.Oleh kerana itu,perlulah kita yg mengaku sebagi hambaNya yg beriman menyahut seruan tersebut dan memperbanyakkan amalan-amalan soleh dalam kehidupan seharian.Tambahan pula seseorang yg bergelar mukmin itu memang seharusnya sentiasa bertaubat kepada Allah swt dan sentiasa memperbaharui taubat pada setiap waktu dan kesempatan kerana dosa-dosa yg dilakukan terlalu banyak dan tidak terhitung banyaknya.Mudah_mudahan dengan taubat inilah dapat membersihkan diri kita semula daripada segala kekotoran dosa dan kemaksiatan dan mendapat ganjaran syurga di akhirat kelak dan ditukarkan daripada kehinaan kepada kemuliaan,kesedihan kepada kegembiraan, dan kegelapan kepada cahaya yg terang benderang…..

Ahad, 15 Mei 2011

Tuan Guru Haji Hitam Pondok Tanjung Bedil

                      



Kalau disebut Tuan Guru Haji Hassim Pasir Tumboh pasti ramai yang mengenalinya, namun, tidak ramai yang mengetahui salah seorang daripada teman seperjuangannya yang merupakan ayah saudara beliau ketika menuntut ilmu di Makkah. Tuan Guru Haji Hitam Tanjung Bedil, salah seorang daripada ulama-ulama yang mengasaskan pondok di Kedah dalam tahun 1940-an dan berjuang menentang kemasukan fahaman dan kebudayaan Jepun ketika berlakunya penindasan Jepun di Tanah Melayu. Pastinya, tidak ramai yang mengenalinya melainkan mereka yang pernah berguru dengan beliau ketika hayatnya atau pun melalui pondoknya di Tanjung Bedil, Sungai Baru, Gunung, Alor Setar, Kedah yang masih wujud hingga kini. Kawasan pondoknya kini didiami oleh anak-anak dan cucu-cucu Allahyarham sendiri daripada kelima-lima isterinya. Mudah-mudahan kalam hamba Allah yang fakir dan dhaif ini menjadi pangajaran dan ikutan pada diri sendiri dan orang lain dalam mengikuti jejak langkah ulama-ulama yang terdahulu khususnya di Tanah Melayu dalam mengembangkan ajaran Islam kepada masyarakat. Semoga kesugguhan dan ketekunan mereka yang tidak kenal erti penat dan putus asa serta semangat ingin tahu yang kuat dapat diterapkan dalam diri kita terutamanya kepada mereka yang bergelar  penuntut ilmu.Bagi sesiapa yang membaca artikel atau risalah ini,jangan lupa menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Tuan Guru Haji Hitam yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1985. Mudah-mudahan artikel atau risalah ini menjadi salah satu jasa kepadanya di atas penat lelahnya mendidik dan mendoakan anak cucu sekaliannya walaupun tidak sempat bersama Allahyarham. Kemungkinan juga,kerana doa-doanyalah anak cucunya membesar sebagai seorang muslim yang berilmu. Akhir kalam, mohon maaf jika terdapat kesilapan dalam penulisan ini sama ada dari segi latar belakang dan fakta mengenai Allahyarham Tuan Guru Haji Hitam. Moga-moga kita sama-sama mendapat istifadhah daripada kalam hamba yang fakir ini, insya-Allah..Aminn.


Muhamad Nazim Haji Ahmad Zabidi,
Ahmad Zabidi Haji Hitam, dan
Zawiyah Haji Saad (UKM)



Latar Belakang dan Pendidikan

Allahyarham Tuan Guru Haji Hitam Haji Sulaiman dilahirkan pada 1913 di Kampung Huma, Padang Hang,  Alor Setar, Kedah Darul  Aman. Sesetengah riwayat menyatakan Allahyarham dilahirkan di Saling, Baling, Kedah.  Bagaimanapun, pendapat pertama diputuskan berdasarkan permit kelulusan pengembumian yang dikeluarkan oleh Hospital Besar Alor Setar.  Allahyarham kembalinya ke rahmatullah pada jam 7.25 pagi, bertarikh 22 Januari 1985 akibat penyakit kencing manis.


Allahyarham Tuan Guru Haji Hitam adalah anak kelima daripada enam beradik. Nama sebenarnya ialah Haji Hitam atau Yusof hasil perkongsian hidup Haji Sulaiman dengan Hajah Halimah yang merupakan isteri pertamanya.  Haji Sulaiman kemudiannya mengahwini Halimah Awang dan dikurniakan anak seramai tiga orang,

Allahyarham Tuan Guru Haji Hitam merupakan salah seorang anak yang mempunyai kelebihan dan mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu agama.Kerana minatnya yang mendalam terhadap ilmu agama,ayahnya telah menghantar beliau mempelajari ilmu dalam usia yang muda di pondok Alor Gunung.Maka,di pondok inilah bermulanya  perjalanan Tuan Guru Haji Hitam dalam mencari ilmu.Tuan Guru Haji Hitam sangat mudah menerima dan mengingat ilmu-ilmu yang disampaikan dan beliau juga mudah untuk menguasai ilmu yang dipelajari. Kelebihan Allahyarham dalam menguasai ilmu dan hubungannya yang baik di kalangan rakan-rakannya membuatkan beliau disenangi dan disayangi.

Setelah beberapa tahun menuntut ilmu di Pondok Alor Gunung, Allayarham membuat keputusan untuk menuntut ilmu di Pondok Tok Kenali, Kelantan, setelah mendapat keizinan daripada guru-gurunya di Pondok Alor Gunung..Berbekalkan restu guru dan harapan ayahnya, Allahyarham berjaya menjejakkan kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang yang merupakan salah satu negeri yang kaya dengan ilmu dan ulama yang ramai. Di Pondok Tok Kenali, Allahyarham berpeluang menadah kitab secara langsung daripada Tok Kenali yang merupakan salah seorang ulama yang terkenal dan tersohor di Kelantan pada ketika itu. Allahyarham telah berpeluang mendalami ilmu Nahu, Soraf, Tauhid, Fikah dan Tasawwuf daripada Tok Kenali sendiri. Pengajian Allahyarham bersama Tok Kenali memberi pengalaman dan pengajaran yang sangat berharga dan cukup bernilai dalam diri Allahyarham. Tok Kenali pernah menyatakan dalam buku bahawa Allahyarham adalah murid yang pintar dan boleh berjaya (akan dihurai kemudian). Tok kenali merupakan seorang yang zahid, suka merendah diri, tawaduk dan tidak membezakan orang  berpangkat atau tidak dalam memberi layanan. Akhlak Tok Kenali yang begitu memukau sedikit sebanyak mempengaruhi diri Allahyarham sendiri.

Setelah tamat pengajiannya di Pondok Tok Kenali, Kelantan, Allahyarham menyambung pula pengajian di bumi Makkah. Kecenderungan Allahyarham terhadap ilmu pengetahuan, mendorong ayahnya. Haji Sulaiman untuk menghantar Allahyarham melanjutkan pelajaran ke Makkah. Ketika itu usia  Allahyarham baru berusia sekitar dua puluh tahun. Pemergian Allahyarham ke bumi Makkah ditemani anak saudaranya Tuan Guru Haji Hasyim Haji Abu Bakar yang kini merupakan tokoh ulama, mudir di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan (Tuan Guru Haji Hasyim telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Kelantan pada tahun 2010). Allahyarham bersama anak saudaranya telah menaiki kapal layar untuk sampai ke bumi Makkah. Di Tanah Suci, Allahyarham mempelajari ilmu agama di pusat pengajian Darul Ulum ad-Diniah.

Selain itu, Allahyarham juga turut mengunjungi Masjidil Haram untuk mengikuti kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh ulama-ulama di sana.

Dalam usianya yang masih muda, Allahyarham yang terkenal dengan sifat kerajinan ini telah berjaya mencapai impian dan hasrat ayahnya. Naluri ingin tahu yang melonjak-lonjak di jiwa Allahyarham telah memberi kesan positif dalam hidupnya. Dari Kedah, kemudian ke Kelantan dan, akhirnya menyambung pelajarannya ke Tanah Suci selama empat belas tahun.

Perjuangan

   Kedatangan Jepun ke Tanah Melayu pada 8 Disember, tahun 1941 atas dasar memperjuangan dasar imperialsime telah membuka era baru bagi penduduk di Tanah Melayu. Pemerintahan Jepun yang hanya beberapa tahun di Tanah Melayu itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi fikiran rakyat..

   Disebabkan masalah yang dialami oleh penduduk ketika itu, Hj Sulaiman telah meminta anaknya, Tuan Guru Hj Hitam supaya kembali ke tanahair untuk mengajarkan serta mempraktikkan ilmu yang dipelajarinya kepada anak-anak bangsa. Tuan Guru Hj Hitam menerima permintaan ayah beliau dengan hati yang ikhlas dan lapang setelah Jepun berundur dari Tanah Melayu sekitar tahun 1945.

Tuan Guru Hj Hitam bin Sulaiman telah memulakan kelas pengajian yang dikendalikannya sendiri di Sidam dan memberi tumpuan terhadap bidang keagamaan. Pembukaan Pondok Sidam yang terletak di Kulim, Kedah telah memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mempelajari ilmu di situ. Dari hari ke hari, bilangan pelajarnya semakin meningkat dan ramai daripada kalangan  pelajarnya membina pondok secara persendirian di kawasan tersebut. Keadaan ini telah mendorong Tuan Guru untuk membuka sebuah lagi pondok di Tanjung Bedil. Pemergiannya ke Tanjung Bedil telah menyebabkan Pondok Sidam semakin terpinggir. Kedudukan Tanjung Bedil lebih strategik  berbanding dengan pondok di Sidam dan pembelajaran yang dijalankan juga lebih teratur dan mendapat perhatian daripada masyarakat. Terdapat juga di kalangan murid beliau yang berpindah dari Sidam dan menetap di Tanjung Bedil.

                   
                                                          


Beliau pernah melalui kehidupan yang getir sekembalinya di Tanah Melayu. Allahyarham pernah menjual ubi kayu untuk menyara hidup kesan dari penjajahan Jepun. Namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk memenuhi impian ayahnya dan diri sendiri dalam menyampaikan risalah Islam. Berkat kesabaran dan ketabahan ini terbukti dengan kejayaan pondok-pondok yang didirikan oleh beliau.

Allahyarham juga dikurniakan akal yang cerdik dan pintar oleh Allah SWT.  Sebelum kawasan Pondok Tanjung Bedil mengalami banjir yang besar, beliau telah menyarankan masyarakat kampung supaya menanam ubi kayu `secara terbalik'. Saranan beliau itu merupakan salah satu cara untuk memudahkan penduduk mendapatkan makanan ketika menghadapi kesusahan dan mengelakkan kebuluran. Apabila banjir melanda, para penduduk lebih mudah untuk mendapatkan makanan dan masalah kebuluran tidak berlaku. Ini kerana tempat-tempat yang mempunyai makanan telah ditanda lebih awal lagi.


Disebalik memenuhi impian ayahnya, Allahyarham telah berjaya menunaikan tanggungjawabnya sebagai pendidik kepada anak bangsa dan masyarakat. Namun ketika usianya meningkat tua,keadaan beliau semakin uzur dan lemah tambahan pula penyakit kencing manis yang dihadapinya. Namun usia dan penyakitnya tidak menjadi penghalang kepadanya untuk menunaikan ibadah solat berjemaah bersama para pelajarnya. Kecintaannya kepada Allah dan rasul-Nya adalah terlalu tinggi.


              
Tuan guru Hj Hitam ketika sedang sakit

Hari demi hari keadannya semakin lemah. Musibah yang dihadapi oleh Tuan Guru sangat mendukacitakan masyarakat setempat. Beliau terlantar sakit walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mengubati penyakit beliau. Keadaan Allahyarham  yang semakin tenat telah membimbangkan anak murid beiau. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya.

Tuan Guru Hj Hitam atau Yusoff bin Sulaiman akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 22 Januari 1985, jam 7.25 pagi ketika berumur 71 tahun di Hospital Besar, Alor Setar, Kedah akibat penyakit kencing manis. Kehilangan Tuan Guru adalah satu kehilangan yang besar dan sukar dicari ganti. Satu lagi permata telah hilang di alam ini dan akan berterusan sehinggalah orang jahil diangkat menjadi pemimpin dan pemimpin itu sesat dan menyesatkan sepertimana sabda Nabi SAW. Pemergian beliau meninggalkan ribuan anak murid yang bertebaran di serata negeri. Di kalangan mereka ada yang mengikuti jejak langkah Tuan Guru Hj Hitam menyebarkan dakwah dan sebahagian yang lain meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Jasa dan pengorbanan Tuan Guru akan sentiasa dikenang.

Bagi yang membaca artikel ini,mudah-mudahan bacaan al-Fatihah dan doa kepada beliau menjadi penutup artikel ini.semoga Allah SWT membalas jasa kalian dan memberi taufiq kepada kita semua..
Amin.




Kenangan
 
Bergambar di sekitar kawasan pondok
 
Haji Umar Haji Ahmad Kubang Jawi
tuan guru haji hasyim
       

dari kiri- tok guru haji hitam , ahmad zabidi , kamarudin , man , ahmad ludin , azizan . berdiri- ahmad roshidi , shahabudin

Tuan guru Hj Hitam

  Keluarga TG Hj Hitam